Sorting by

×

KPDN MELAKA JALANKAN 31,193 PEMERIKSAAN SEPANJANG TAHUN 2025

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 27 Januari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka telah menjalankan sebanyak 31,193 pemeriksaan menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan bersepadu sepanjang 2025.

Pengarah KPDN Melaka Dr. Mohd Hazimin Jamaludin berkata, operasi penguatkuasaan tersebut bertujuan membanteras penyelewengan, manipulasi harga serta pelanggaran undang-undang melibatkan barangan kawalan dan keperluan asas.

Katanya, hasil daripada tindakan penguatkuasaan dilaksanakan, pihaknya menghasilkan sebanyak 404 kes dengan nilai rampasan mencecah RMRM428,444.15.

“Sepanjang 2025 KPDN Melaka mengeluarkan kompaun berjumlah RM166,600 selain melakukan 17 tangkapan atas pelbagai kes di negeri ini.

“Pendekatan penguatkuasaan secara berterusan bukan sahaja memastikan pematuhan terhadap undang-undang perdagangan, malah meningkatkan keyakinan pengguna terhadap keadilan dan ketelusan pasaran.

“Selain itu sepanjang tahun lalu, KPDN Melaka memperkukuh penguatkuasaan menerusi kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa lain serta sokongan komuniti setempat bagi membolehkan tindakan pantas diambil terhadap pihak yang cuba mengambil kesempatan demi keuntungan tidak wajar,” katanya menerusi satu kenyataan kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Dr. Mohd Hazimin berkata KPDN Melaka akan terus perhebatkan operasi penguatkuasaan dengan lebih strategik dan berfokus dengan penekanan terhadap risikan, pemantauan bersasar selain penglibatan komuniti sebagai rakan strategik jabatan pada tahun 2026.

“Selain itu, pelbagai inisiatif berimpak tinggi akan diperluas bagi menyokong agenda kos sara hidup rakyat termasuk program intervensi pasaran dan pendidikan kepenggunaan selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

306
Kongsi :
Previous post TEMPOH PERCUBAAN ‘NO RIGHT TURN’ PERSIMPANGAN DATARAN KLEBANG BERMULA HARI INI
Next post MINDEF PERUNTUK RM850,000 LAKSANA 17 PROJEK JIWA MADANI DI MELAKA