
KRISIS ASIA BARAT: TEMPAHAN TUNAI UMRAH MENURUN 20 PERATUS
BUKIT KATIL 9 April – Lebih 20 peratus penurunan tempahan menunaikan ibadah umrah direkodkan agensi-agensi pelancongan yang berdaftar di bawah Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka Chapter susulan konflik di Asia Barat.
Pengerusi Penganjur MATTA Fair Melaka 2026 Halimah Ahmad berkata, penurunan itu susulan sikap tunggu dan lihat serta berjaga-jaga umat Islam yang risaukan aspek keselamatan meskipun operasi umrah ketika ini berjalan seperti biasa tanpa sebarang arahan penangguhan rasmi.
Katanya, selain membantu melancarkan urusan berkaitan, ejen juga akan menasihatkan bakal jemaah supaya mengambil perlindungan insurans sebagai persediaan bagi mendepani sebarang risiko luar jangka.
“Kita mengharapkan krisis Asia Barat ini cepat berakhir kerana menjejaskan banyak perkara termasuk landskap pelancongan.
“Krisis ini mengakibatkan kenaikan harga tiket penerbangan, insurans terlalu tinggi dan pelbagai lagi caj yang akan dikenakan, sekali gus memberi impak besar kepada ejen pelancongan yang menguruskannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media MATTA Fair Melaka 2026 di Pejabat Sekretariat MATTA Melaka Chapter di Bukit Baru Utama, di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Pengerusi Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka Chapter Goh Hock Gin dan Penolong Pengarah Tourism Malaysia Zon Selatan Norisyam Odzali.
Dalam pada itu, Halimah berkata peningkatan sehingga 30 peratus kenaikan harga baharu bagi pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan ketika ini.
“Kenaikan harga pakej pelancongan baharu ini ini dinilai semula ketika ini dan memang akan ada kenaikan dari 20 ke 30 peratus.
“Untuk pelanggan yang telah membeli pakej pelancongan yang lama, tidak terjejas sama sekali,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


