Sorting by

×

KRT, SRS EJEN PENGGERAK PERPADUAN DI DUYONG

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

DUYONG 14 Julai – Sebanyak lapan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan empat Skim Rondaan Sukarela (SRS) di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong perlu memainkan peranan penting sebagai ejen penggerak perpaduan.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, kedua-dua entiti di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Melaka itu bukan sahaja memberi perkhidmatan sosial, malah berupaya memperkukuh perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat.

Beliau memaklumkan, bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Duyong yang berlangsung selama dua minggu sehingga 26 Julai depan, program Jalinan Mesra Perpaduan @KRT telah dianjurkan ke arah usaha merealisasikan pembangunan komuniti progresif.

“Melalui program seperti ini, peranan KRT diperkasakan sebagai penggerak dan pengantara untuk penganjuran program berteraskan komuniti, sukarelawan dan kenegaraan.

“Selain KRT, empat SRS dan dua Tabika Perpaduan di Duyong juga boleh memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan, keharmonian dan keselamatan masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jalinan Mesra Perpaduan @KRT Program Gerak Rahmah: Jom Ronda Bersepadu sempena WRUR DUN Duyong di Dewan Terbuka KRT Taman Seri Duyong A, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Ketua Polis Melaka Dato’ Dzulkhairi Mukhtar dan Pengarah Perpaduan Negeri Melaka Intan Suhana Yusuff.

Dalam pada itu, Hee Sem turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang sentiasa memberi sokongan dan peruntukan dalam memperkasa program-program bagi memperkukuh perpaduan rakyat.

Menurut beliau, peruntukan yang disalur menerusi inisiatif Komuniti Perpaduan Melaka di bawah Bajet 2025 dapat membantu dalam meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat, seterusnya mencapai matlamat perpaduan nasional.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

387
Kongsi :
Previous post CADANG TUBUH KELAB KONDA KONDI DI SEKOLAH
Next post 26,711 PREMIS SUDAH TERIMA PELEKAT KAMPUNG DIGITAL