Sorting by

×

KUASAI SEJARAH BUKAN SEKADAR UNTUK CEMERLANG SPM, TETAPI FAHAMI KEHEBATAN NEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

LENDU 30 Mei – Keazaman mereka menguasai subjek sejarah bukan sekadar mahu cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sebaliknya didorong keinginan serta minat untuk mencungkil fakta sebenar kehebatan negara ini pada masa lampau.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Rumput, Chong Jun Xian, 17, berkata, sejarah adalah satu subjek yang tidak boleh diabaikan kerana sebalik fakta dicetak pada buku teks, tersirat pelbagai pengajaran dan teladan boleh dijadikan panduan khususnya bagi generasi muda sekarang.

Dia yang memperoleh 10A dalam peperiksaan SPM 2024 lalu, turut menyifatkan sejarah sebagai satu subjek yang amat menyeronokkan terutama buat remaja sepertinya.

“Sejarah juga membantu saya memahami latar belakang budaya bukan sahaja di Malaysia tetapi turut meliputi peringkat dunia, pemahaman terhadap perkara itu mengajar saya untuk saling hormat-menghormati.

“Jangan ulangi kesilapan dilakukan pada masa lalu, itu juga antara pengajaran yang saya dapat dengan menguasai subjek sejarah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM 2024 Kerajaan Negeri Melaka Dan Program Town Hall Bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Sementara itu rakannya juga dari SMK Paya Rumput, Loh Rui Shen, 17, menganggap inisitif Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh melaksanakan kajian bagi meluruskan sejarah Negeri Melaka yang dibengkokkan penjajah sebagai satu usaha amat bagus.

Rui Shen yang memperoleh keputusan 9A pada SPM 2024 turut menyokong usaha membawa pulang artifak berkaitan Melaka dari Belanda yang kini sedang diusahakan Kerajaan Negeri.

“Jangan sesekali abaikan sejarah, kerana sejarah dan agama adalah panduan hidup selain melahirkan masyarakat bermoral serta beradab.

“Sebagai rakyat Malaysia saya bangga dengan usaha Kerajaan Negeri membawa pulang artifak bersejarah dari Belanda, kerana ia secara tidak langsung menggambarkan identiti kita,” katanya.

Mereka berdua adalah antara 168 pelajar cemerlang dan memperoleh A+ bagi subjek sejarah pada SPM 2024 yang diraikan pada majlis berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

948
Kongsi :
Previous post PELAJAR PEROLEH A+ SUBJEK SEJARAH, CEMERLANG SPM DIRAIKAN
Next post WRUR CAPAI OBJEKTIF, MUDAHKAN RAKYAT