Sorting by

×

KUCING TERAPI JIWA SUZANAH

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

SUNGAI UDANG 24 Mei – Bermula dengan hanya empat ekor kucing, minat Suzanah Md Saad, 54, terhadap si ‘bulus’ kini bertukar menjadi komitmen sepenuh masa apabila dia menjaga 23 ekor kucing di rumahnya di Paya Rumput.

Selepas bersara pada usia 50 tahun, Suzanah memilih untuk memanfaatkan masa lapangnya dengan memberikan perlindungan, makanan dan kasih sayang kepada kucing-kucing terbiar yang dianggap sebagai terapi jiwa.

“Sebelum umur 50 tahun saya sibuk bekerja, jadi tidak dapat bela banyak. Tapi selepas bersara, saya mula jaga sepenuh masa, mula-mula empat ke lima ekor saja, sekarang sudah 23 ekor.

“Alhamdulillah, bila kita ikhlas menjaga kucing ini, rezeki juga bertambah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, Suzanah membawa 10 ekor kucingnya ke Program Pemasangan Mikrocip dan ‘Pet Passport’ sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di Dewan Serbaguna Taman Keris Satria, di sini, semalam.

Program tersebut turut dihadiri Penyelaras DUN Sungai Udang merangkap Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.

Menurut Suzanah, program itu wajar diteruskan kerana memberi manfaat besar kepada pencinta haiwan seperti dirinya.

“Saya memang sokong program begini, harga pasang mikrocip hanya RM20, jauh lebih murah daripada harga biasa. Ia sangat membantu untuk keselamatan dan pengesanan kucing jika berlaku apa-apa,” katanya.

Namun, dia berkata, menjaga 23 ekor kucing bukan tugas mudah memandangkan kos makanan sahaja mencecah RM800 sebulan dan jika ditambah rawatan kesihatan serta vitamin, jumlahnya boleh mencapai RM1,500 sebulan.

“Apa yang penting kena ada kemampuan. Jangan bela jika tidak mampu. Semua kucing saya sudah ‘disunat’, empat jantan dan selebihnya betina. Saya jaga elok-elok sebab sudah sayang,” ujarnya.

Bagi Suzanah, setiap kucing yang dipeliharanya bukan sekadar haiwan peliharaan, tetapi sebahagian daripada keluarganya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

542
Kongsi :
Previous post TEROKA BIDANG TVET DI WRUR DUN SUNGAI UDANG
Next post MPHTJ TERIMA ANUGERAH GCOM TIGA TAHUN BERTURUT-TURUT