
KUIH TRADISIONAL BENTENG WARISAN MELAKA
BANDA HILIR 15 Mac – Kerajaan Melaka komited memastikan identiti kulinari Melaka seperti dodol dan kuih-muih tradisional tidak hilang ditelan zaman di sebalik arus kemodenan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, atas faktor itu, pelbagai program termasuklah Festival Kuih Tradisional dianjurkan benteng pertahanan warisan negeri.
Lebih utama, jelas beliau, program seumpamanya bukan sekadar meraikan tradisi, malah merupakan inisiatif penting dalam memelihara dan memartabatkan warisan kulinari tradisional yang menjadi identiti Negeri Melaka.
“Pada masa yang sama, program seperti ini menjadi ruang untuk seluruh rakyat berkumpul, berinteraksi dan mengeratkan ukhuwah sebagai sebuah keluarga besar negeri Melaka.
“Apa yang lebih menarik, tahun ini kita bukan sahaja menyediakan lebih 20 jenis kuih tradisional, malah kita menyaksikan semangat gotong-royong dalam mengacau 30 kawah dodol.
“Ini adalah simbolik kepada kekuatan perpaduan rakyat Melaka, jika tidak dikacau dengan sabar dan bersama-sama, maka tidak akan menjadi dodol yang manis dan lemak rasanya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Santai dan Festival Kuih Tradisional Negeri Melaka 2026 di perkarangan Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka Nasrul Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad Nur Azan Hassan serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata, penganjuran festival seperti itu juga sangat penting bagi memastikan generasi muda terus mengenali, menghargai dan memelihara khazanah tradisi yang menjadi kebanggaan Negeri Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


