
KUM LAKSANA MANDAT KERAJAAN NEGERI, BINA ‘TIANG KONGSI SAMA’
AYER KEROH 7 Ogos – Koridor Utiliti Melaka (KUM) Sdn Bhd bakal memperluaskan bidang perniagaan menerusi pembangunan tiang kongsi sama untuk kegunaan pengendali syarikat telekomunikasi di kawasan perumahan.
Ketua Pegawai Eksekutif KUM, Ismael Hamdan berkata, langkah itu bagi menyelesaikan isu lambakan tiang dan keadaan kabel berselirat yang mencacatkan pemandangan.
“Sekitar taman perumahan banyak tiang dan kabel khususnya di belakang rumah. Perkara ini berlaku kerana setiap syarikat telekomunikasi akan guna tiang baharu sendiri, jadi keberadaan KUM adalah untuk menyelaraskan dan harmonikan keadaan itu.
“Justeru itu kita akan membina satu tiang yang boleh dikongsi oleh dua atau tiga syarikat telekomunikasi. Tumpuan kita adalah kepada perumahan baharu tetapi apabila melihat kepada aduan diterima banyak perumahan di Melaka tidak sistematik serta tidak mengikut spesifikasi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, penyelarasan pembinaan tiang kongsi sama itu susulan daripada polisi dilaksanakan Kerajaan Negeri dan akan bermula tahun ini.
“Kita berharap syarikat telekomunikasi terlibat faham berhubung niat yang mahu dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, kita mahu selaraskan bukan untuk membebankan.
“Setiap tiang perlu ikut garis panduan teknikal diluluskan oleh Kerajaan Negeri, ini melibatkan beberapa aspek penting seperti jarak, kedalaman serta ‘material’ tiang digunakan.
“Malah garis panduan juga sudah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) selain KUM sudah mengadakan perbincangan bersama pihak Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.