
KUM PERLUAS PROJEK INFRASTRUKTUR BAWAH TANAH TAHUN HADAPAN
SERI NEGERI 24 Oktober – Koridor Utiliti Melaka Sdn Bhd (KUM) merancang memperluaskan pelaksanaan projek infrastruktur bawah tanah dan pembinaan tiang guna sama bagi kegunaan syarikat telekomunikasi seluruh Melaka mulai tahun hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif KUM Ismael Hamdan berkata KUM berperanan sebagai agensi sehenti (one-stop agency) menjadi pelaksana dan pemudah cara bagi kerja-kerja bawah tanah di negeri ini.
Katanya, pihaknya juga telah melaksanakan pembinaan tiang guna sama untuk pemasangan ‘fiber pole’ di kawasan perumahan dan laluan utama di beberapa lokasi terlibat.
“Tiang ini boleh dikongsi oleh syarikat telekomunikasi lain dan ianya juga dapat mengelak aktiviti dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti sebelum ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Ismael berkata konsep ‘open access’ turut akan diperluas dan dilaksanakan dengan lebih agresif tahun hadapan.
Jelasnya, garis panduan juga telah diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini.
“Kerja-kerja penyelarasan dan pembinaan saluran utiliti bawah tanah (UDM) telah pun bermula dengan pelbagai sesi libat urus bersama pemaju dan syarikat telekomunikasi.
“Bagi kerja-kerja baharu, kita akan laksanakan secara agresif tahun depan selepas semua proses kelulusan selesai,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


