Sorting by

×

KUTIPAN SAMPAH DI MELAKA DIAWALKAN PADA MALAM RAYA

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KLEBANG 13 Mac – Operasi kutipan sisa domestik di Negeri Melaka akan diawalkan bermula jam 12.30 tengah malam pada malam raya sebagai langkah memastikan persekitaran kekal bersih menjelang sambutan Aidilfitri.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, langkah itu dilaksanakan menerusi Strategi Operasi Hari Raya Aidilfitri yang akan berlangsung dari 16 hingga 24 Mac ini di seluruh negeri Melaka.

Katanya, bagi menjayakan operasi itu pihaknya menggerakkan lebih 1,500 tenaga kerja bersama 329 jentera serta kenderaan pelbagai kegunaan.

“Operasi ini bagi memastikan tahap kebersihan awam sentiasa terpelihara selain memastikan perkhidmatan kutipan sisa berjalan lancar sepanjang musim perayaan.

“Pada tahun ini kita memberi tumpuan kepada kutipan sisa domestik dan pukal mengikut jadual.

“Manakala kutipan di tong berpusat dan jalan-jalan utama akan dilaksanakan pada hari pertama Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Strategi Operasi Aidilfitri dan Program Iftar SWM Environment Melaka bersama Agensi Rakan Strategik, Media dan Anak Yatim 2026 di sebuah hotel, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka Nor Zaki Md Nor; Pengurus Operasi Wilayah SWM Environment Melaka Khaw Su Aun; Pengurus Kawasan Perkhidmatan SWM Environment Melaka Norariffin Nordin serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Mohd Norlisam memaklumkan, kerja-kerja pembersihan di pusat bandar, pantai, tempat awam, medan selera, pasar awam dan tandas awam akan terus dilaksanakan seperti biasa.

Katanya, kerja-kerja terbabit akan mengikut jadual termasuk pemotongan rumput serta pembersihan longkang di kawasan taman perumahan.

“Persediaan menyeluruh melibatkan penyelarasan tenaga kerja mencukupi, pengurusan logistik serta pengoptimuman aset kenderaan dan jentera telah dilakukan.

“Langkah ini bagi memastikan perkhidmatan berjalan secara efisien, sistematik dan tanpa gangguan sepanjang tempoh sebelum, semasa dan selepas Aidilfitri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

359
Kongsi :
Previous post SUNGAI MELAKA JADI SAKSI ANAK MUDA KHATAM AL-QURAN
Next post KETUA MENTERI SINGGAH SAHUR DI HENRY GURNEY, TITIP NASIHAT BUAT PENGHUNI