Sorting by

×

KUTIPAN ZAKAT MELAKA MELONJAK, KEKAL SIFAR MISKIN TEGAR – KM

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 3 April – Prestasi kutipan zakat Melaka menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila mencecah RM415 juta dalam tempoh tiga tahun.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kutipan zakat bagi tempoh berkenaan diagihkan dalam pelbagai bentuk bantuan kepada 25,000 rakyat Melaka yang memerlukan sokongan.

Katanya, Kerajaan Negeri amat komited dalam memastikan setiap bantuan sampai kepada golongan yang berhak dan benar-benar memerlukan.

“Pengurusan zakat yang telus dan efisien antara faktor utama peningkatan kepercayaan masyarakat dan usaha ini juga mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bacaan Yasin dan Doa Kesyukuran Peringkat Negeri Melaka Sempena 3 Tahun Kepimpinan YAB Ketua Menteri Melaka di Masjid Al-Alami, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman, barisan Exco, Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri juga akan terus memberi keutamaan terhadap aspek kebajikan rakyat apabila berjaya mengekalkan status sifar miskin tegar sepanjang tempoh tiga tahun pentadbiran beliau.

Beliau menegaskan, kejayaan tersebut bukanlah sesuatu untuk dibanggakan, sebaliknya amanah yang perlu dipikul demi kesejahteraan rakyat dan pendekatan menyantuni rakyat hingga ke akar umbi menjadi asas kepada setiap dasar yang dilaksanakan.

“Kerajaan Negeri turut menyalurkan RM419.1 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan yang memberi manfaat kepada lebih 100,000 rakyat Melaka. Bantuan itu merangkumi golongan asnaf, pesakit terlantar, warga emas dan ibu tunggal yang memerlukan sokongan berterusan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

436
Kongsi :
Previous post BACAAN YASIN DAN DOA KESYUKURAN IRINGI 3 TAHUN PENTADBIRAN AB RAUF