Sorting by

×

LAHIRKAN ANAK-ANAK HEBAT DARI KAMPUNG KECIL – KM

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

TANJUNG BIDARA 9 Jun – Anak kampung juga mampu menghasilkan kandungan kreatif yang menarik, tetapi dengan syarat bijak mengolah elemen menggabungkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), kreativiti dan inovasi, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, meskipun tinggal di kampung kecil, generasi bakal pelapis negara itu perlu bergerak seiring dan tidak boleh mengabaikan perkembangan teknologi terkini khususnya AI.

Katanya, jika dibandingkan dengan era analog, faktor geografi bukan lagi satu halangan untuk anak kampung berkarya kerana dengan menggunakan telefon pintar di telapak tangan mereka boleh berkongsi kandungan kreatif dihasilkan kepada dunia.

Sebagai seorang yang membesar dalam suasana kampung, beliau berkata, ramai tidak sedar mengenai pelbagai kelebihan ada di sekeliling mereka seperti warisan alam semula jadi, cerita rakyat dan budaya yang mana jika digabungkan dengan kreativiti, inovasi serta teknologi, hasilnya pasti akan jadi luar biasa.

“Manfaatkan teknologi untuk hasilkan kandungan kreatif tentang keunikan kampung seperti video dan animasi. Promosikan kampung halaman melalui media sosial dengan cara yang menarik dan positif, gabungkan unsur tradisi serta moden dalam projek seni, persembahan atau permainan digital.

“Wujudkan komuniti kreatif di sekolah sebagai ruang berkongsi idea dan projek bersama rakan yang dipantau oleh guru pembimbing.

“Justeru, saya mengajak anak-anak semua untuk terus berfikir dan berkarya. Insya-Allah, saya percaya, anak-anak hebat di depan saya yang membersar di kampung kecil ini, akan lahir tokoh dan karyawan hebat bukan sahaja membanggakan Melaka, tetapi menjulang nama Malaysia di mata dunia,” kata Ketua Menteri.

Ab Rauf berkata demikian ketika meluangkan masa untuk ditemubual wakil SETARA TVPSS Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Bidara, di sini, hari ini.

Kehadiran Ketua Menteri adalah bertujuan untuk menyokong murid SK Tanjong Bidara yang menyertai Pertandingan Video Kembara Kreatif Peringkat Negeri Dan Kebangsaan 2025 bertemakan ‘Pelancongan Dan Industri Kreatif’.

Walau bagaimanapun, beliau turut berpesan agar generasi muda tidak hanyut dengan teknologi, kerana apa yang dibaca, ditonton atau didengar boleh memesongkan akidah seseorang jika tidak berhati-hati.

“Sekarang pada waktu petang kita tidak habiskan masa bermain konda kondi atau dam aji, minat anak-anak lebih terarah kepada telefon pintar kerana semuanya ada di telapak tangan. Jadi gunakan teknologi untuk menghasilkan karya bermanfaat, memandu kita menjadi insan hebat yang membina peradaban manusia lebih baik, mengukuhkan pegangan agama dan paling utama tidak lupa asal usul.

“Jadi anak-anak hebat meskipun kita berasal dari kampung kecil, dengan memanfaatkan teknologi dunia boleh mendengar suasana kita, diharapkan perkongsian ini memberi faedah kepada semua, semoga Tanjung Bidara lebih tersohor,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

428
Kongsi :
Previous post POLIS MELAKA TUMPASKAN SINDIKET PENIPUAN KERJA SAMBILAN DALAM TALIAN PALSU
Next post MELAKA DESTINASI PERTAMA JENAMA HOTEL BERTARAF DUNIA