
LALUAN BULATAN KLEBANG KE BATANG TIGA DINAIK TARAF KEPADA EMPAT LORONG
DURIAN TUNGGAL 11 Februari – Kerajaan Negeri sedang melaksanakan projek menaik taraf laluan dari Bulatan Klebang ke Batang Tiga sebagai strategi penyuraian trafik, sekali gus memberikan keselesaan kepada pengguna.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri Datuk Hameed Mytheen Kunjur Basheer berkata, projek membabitkan pelebaran jalan dari dua kepada empat lorong itu melibatkan kos yang dianggarkan bernilai RM36 juta.
“Kos projek berkenaan tinggi kerana turut melibatkan pengalihan infrastruktur utiliti seperti tiang elektrik, telekomunikasi dan paip air bawah tanah secara menyeluruh. Projek turut melibatkan pelebaran jambatan, jika cuma tambah lorong bagi setiap laluan kosnya tidak begitu tinggi.
“Projek dilaksanakan di laluan ini kerana ia dikenal pasti sebagai titik kesesakan utama di Klebang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan pemantauan paras air di Empangan Durian Tunggal, di sini, pada Isnin.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Datuk Mohd Saleh Jusman; Pengarah Badan Kawal Selia Air (BKSA), Azizul Adzran Mahmor serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Hameed berkata, projek di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya itu dilihat sebagai langkah penting bagi menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas dari Klebang menghala ke Batang Tiga.
“Perkara kesesakan ini telah membelenggu penduduk sekitar yang menggunakan laluan terbabit namun memahami demografi dan situasi kawasan memang memerlukan kos yang tinggi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


