
LALUAN SEHALA PEKAN DURIAN TUNGGAL BAKAL BERI KELEGAAN KEPADA PENGGUNA
DURIAN TUNGGAL 6 Ogos – Pengaktifan Sistem Jalan Sehala di Pekan Durian Tunggal akan dipantau sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang dua minggu tempoh percubaan.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata pengaktifan sistem jalan sehala sepanjang hampir 1.5 kilometer (km) itu dijangka dapat membantu menyelesaikan kesesakan lalu lintas di pekan Durian Tunggal pada waktu puncak, sekali gus bakal melegakan kira-kira 5,000 pengguna.
“Jarak laluan sehala ini sedikit jauh, tetapi melancarkan pergerakan, Pekan Durian Tunggal ini waktu puncaknya adalah sebelah pagi, kesesakan yang memang tidak boleh ditampung lagi dengan jalan raya yang sedia ada ini.
“Dalam tempoh dua minggu ini, JKR sendiri dibantu PDRM akan melakukan pemantauan kelancaran lalu lintas,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas meninjau Pengaktifan Sistem Jalan Sehala di Pekan Durian Tunggal, di sini, semalam.
Hadir sama Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil dan Pengarah JKR Melaka, Ir. Mohamad Salzeli Moktar.
Hameed menjangkakan pengguna akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan sistem laluan sehala itu terutamanya sepanjang tempoh percubaan.
“Jika langkah yang diambil ini masih lagi tidak membantu kelancaran lalu lintas, JKR akan mencari satu alternatif lain. Namun demikian, kita tidak anggap ini satu ketetapan tetapi dalam tempoh percubaan,” katanya.
Pelaksanaan laluan sehala itu akan libatkan Jalan Murai Jaya 1 (jalan pintas pekan Durian Tunggal) kemudian melalui Jalan Durian Tunggal (menghala ke pekan dari arah Ayer Keroh) dan pekan Durian Tunggal (No Right Turn di persimpangan Jalan Belimbing Dalam/Parit Melana).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.