Sorting by

×

LANGKAH BERSASAR ATASI MASALAH BANJIR DUN LENDU

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

LENDU 21 Mei – Ikhtiar untuk menoktahkan masalah banjir kilat menjadi antara fokus pada Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, usaha itu tidak pernah berhenti sebaliknya berterusan dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif daripada Kerajaan Melaka serta Kerajaan Persekutuan.

“Sejak tahun lalu lagi pelbagai usaha sudah dilaksanakan bukan sahaja oleh jabatan dan agensi berkaitan, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sendiri menunjukkan kesungguhan untuk mencari penyelesaian masalah banjir kilat kerap berlaku khusus sekitar DUN Lendu.

“Sebelum ini Negeri Melaka juga menerima peruntukan tambahan sebanyak RM6 juta bagi mengatasi isu banjir di lima DUN dalam Parlimen Masjid Tanah. Boleh saya katakan sebahagian besar peruntukan itu disalurkan ke DUN Lendu khusus di pekan Masjid Tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Masyarakat Di Hati Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) 2025 bersempena WRUR DUN Lendu di Kampung Bukit Beringin, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu merangkap Ketua Menteri Melaka ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Yang Dipertua MPAG,  TPr. Saifuddin Abdul Karim; Setiausaha MPAG, Radzyma Mahat, Ketua Ahli Majlis MPAG, Ghafar Ngah; Ahli-Ahli Majlis serta ketua-ketua jabatan MPAG.

Rais yang juga Adun Paya Rumput berkata, selain itu sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkenaan, MPAG turut melaksanakan usaha untuk mengatasi banjir kilat di Taman Masjid Tanah Ria, menerusi pembinaan tembok dan rumah pam.

Sebelum ini media melaporkan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) meluluskan peruntukan sebanyak RM6 juta bagi mengatasi banjir kilat di Parlimen Masjid Tanah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

500
Kongsi :
Previous post MPAG DEKAT DI HATI, SEJAHTERAKAN KOMUNITI
Next post REZEKI WRUR, TUJUH BERANAK BAKAL TERIMA RUMAH BAHARU