Sorting by

×

LAPAN RUMAH TRANSIT SIAP DIBINA SETAKAT JULAI

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

DUYONG 17 Julai – Lapan buah Rumah Transit berjaya disiapkan Lembaga Perumahan Melaka (LPM) di lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) setakat pertengahan Julai tahun ini.

Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, sebuah lagi Rumah Transit atau dahulunya dikenali sebagai Rumah Bencana di DUN Serkam masih dalam proses pembinaan.

“Kerajaan Negeri menerusi LPM memperkenalkan inisiatif 1 DUN 1 Rumah Transit bertujuan menyediakan tempat berteduh untuk golongan memerlukan seperti mereka yang menghadapi situasi kecemasan atau mangsa bencana.

“Sehingga kini terdapat lapan Rumah Transit termasuk sebuah Rumah Sejahtera Lipat Kajang (MyBN Home) di DUN Merlimau sudah siap dibina oleh LPM. Pembinaan unit Rumah Transit ini membabitkan DUN Tanjung Bidara, Paya Rumput, Taboh Naning, Duyong, Lendu, Pengkalan Batu serta Pantai Kundor.

“Manakala di DUN Serkam ia masih dalam proses pembinaan. Pembinaan Rumah Transit ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Transit DUN Duyong, bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Duyong, berhampiran Japerun Duyong, hari ini.

Terdahulu, majlis itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad dengan diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Pengarah Eksekutif LPM Datuk TPr. Murad Husin.

Menurut Zulkiflee, pembinaan Rumah Transit itu melibatkan kos RM70,000 seunit dan mempunyai tiga bilik serta dilengkapi dengan barangan perabot asas.

“Pembinaan Rumah Transit ini kita mencadangkan supaya dibina berhampiran atau di perkarangan Japerun, sekali gus memudahkan lagi proses menyalurkan bantuan, sumbangan dan pemantauan.

“Harapan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh untuk mewujudkan Rumah Transit ini sudah tercapai dengan bantuan LPM dan berharap sebuah lagi unit yang masih dalam proses pembinaan dapat disiapkan pada hujung tahun ini,” katanya.

Jelasnya, pembinaan Rumah Transit di DUN lain sedang dalam proses, namun di sesetengah kawasan dijangka memakan masa berikutan masalah tertentu termasuk status tanah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

366
Kongsi :
Previous post FAIRUL NIZAM CAKNA ASPEK PENDIDIKAN ANAK ASAHAN
Next post BANGKAI HELIKOPTER PDRM TERHEMPAS AKAN DIBAWA KE PGU SUBANG – KOMANDER PGU