Sorting by

×

LAPOR KEBOCORAN PAIP DI MELAKA, SAMB BAKAL TAWAR HADIAH

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 4 Jun – Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) akan menawarkan hadiah kepada orang ramai atau pengguna yang melaporkan kebocoran paip air di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SAMB, Datuk Mohd Saleh Jusman berkata, inisiatif itu dilakukan sebagai sebahagian usaha pihaknya untuk menurunkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW) akibat paip pecah sehingga menyebabkan berlaku pembuangan air terawat.

Katanya, walaupun SAMB mempunyai kaedah tersendiri dalam mengesan paip rosak atau pecah dengan menggunakan sensor, namun ia tetap mengambil masa panjang sebelum mengenal pasti lokasi dan seterusnya membolehkan pembaikan dilakukan.

Oleh sebab itu, beliau berkata, bantuan orang awam masih penting dalam memastikan pembaikan segera dapat dilakukan dan seterusnya mengurangkan kadar kehilangan air di negeri ini.

“Walaupun kita ada cara mengesan kebocoran, namun langkah terbaik tetap adalah melalui laporan rakyat kerana mereka merupakan orang yang tinggal atau sering melalui sesuatu kawasan di negeri ini.

“Jadi, bermula Julai, kita bercadang untuk memberikan insentif kepada orang ramai yang melaporkan kebocoran (paip) air di Melaka.

“Konsepnya mudah, jika laporan itu betul dan ia membabitkan paip yang besar, maka, besarlah hadiahnya dan jika membabitkan paip kecil, kita turut akan menyediakan cenderahati kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran di Podcast ‘Mana Lagi, Melaka Ler’ di Studio Melaka TV, Kompleks CMI, di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohd Saleh turut berkongsi visi dan perancangan SAMB yang kini sedang dalam usaha menukar imej kepada sebuah sebuah syarikat yang lebih dinamik dalam industri pembekalan air bersih di negara ini.

Jelas beliau, dalam mengubah imej tersebut, pihaknya perlu memastikan kadar NRW berada di paras lebih baik, selain pada masa sama perlu memastikan bekalan air terawat yang disediakan mencukupi untuk menampung kawasan perindustrian dan perumahan baharu di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5375
Kongsi :
Previous post SEMAKIN RAMAI BIJAK PANDAI DI MELAKA JADI MANGSA ‘SCAMMER’
Next post ECO-CRUISE SUNGAI LINGGI TAWAR 3 PAKEJ, PELAYARAN TUJUH HARI SEMINGGU