Sorting by

×

LARANGAN DEKORASI KRISMAS DI PREMIS BERSIJIL HALAL, TERTAKLUK GARIS PANDUAN JAKIM

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

BANDARAYA MELAKA 19 Disember – Sebarang paparan dekorasi atau simbol perayaan keagamaan termasuk Krismas tidak dibenarkan di dapur dan ruang utama premis yang memiliki pensijilan halal di negeri ini bagi memastikan integriti sijil tersebut serta mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, semua premis dan produk yang dipersijilkan halal adalah tertakluk kepada Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Katanya garis panduan tersebut turut merangkumi ketetapan berkaitan dekorasi, perkhidmatan serta pengiklanan yang berbentuk keagamaan di premis atau dapur hotel yang telah memperoleh sijil halal.

“Bagi tujuan menjaga sensitiviti semua pihak yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, apa sahaja paparan dekorasi atau simbol berkaitan perayaan keagamaan adalah tidak dibenarkan di dapur serta ruang utama restoran yang bersijil halal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rahmad berkata, larangan itu juga merangkumi sebarang bentuk pengiklanan atau hiasan yang bercanggah dengan prinsip Hukum Syarak, unsur tidak sopan, bertentangan moral atau memberi implikasi negatif terhadap Pensijilan Halal Malaysia.

“Ia termasuklah penggunaan pernyataan, lambang, istilah atau nama yang berunsurkan keagamaan dan ketuhanan seperti nama-nama Allah, makanan sunnah, dewa dan seumpamanya yang tidak dibenarkan digunakan dalam premis bersijil halal,” jelasnya.

Terdahulu, tular surat yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berhubung garis panduan dekorasi perayaan Krismas di hotel serta premis makanan yang mempunyai pensijilan halal di negeri ini.

Surat berkenaan memaklumkan bahawa hasil perbincangan Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Melaka pada 31 Oktober lalu menetapkan hiasan perayaan yang bersifat keagamaan tidak dibenarkan di dapur dan outlet hotel yang dipersijilkan halal.

Menerusi surat itu, JAIM turut menjelaskan bahawa pihak pengurusan hotel bagaimanapun masih dibenarkan untuk menghias ruang lain yang tidak tertakluk kepada pensijilan halal, tertakluk kepada pematuhan peraturan sedia ada.

Rahmad berkata bahawa tiada sebarang larangan terhadap dekorasi perayaan Krismas, Aidilfitri, Deepavali atau mana-mana perayaan lain di kawasan hotel atau premis yang tidak dipersijilkan halal, seperti di lobi hotel atau ruang perniagaan lain yang tidak tertakluk kepada pensijilan tersebut.

“Premis atau kawasan yang tidak dipersijilkan halal bebas untuk menghias ruang perniagaan mereka mengikut kesesuaian, selagi mematuhi undang-undang dan peraturan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan ini bukan bertujuan menafikan hak mana-mana pihak untuk meraikan perayaan masing-masing, sebaliknya bagi memelihara integriti pensijilan halal serta keharmonian masyarakat majmuk.

“Memiliki sijil halal di premis bukanlah satu kewajiban, namun mematuhi peraturan pensijilan halal adalah satu kewajipan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak dapat memahami dan menghormati garis panduan yang ditetapkan serta tidak menimbulkan isu yang boleh menjejaskan keharmonian kehidupan bermasyarakat di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

451
Kongsi :
Previous post MELAKA ANJUR 1,150 JUALAN RAHMAH, HAMPIR 1 JUTA PENGUNJUNG DAPAT MANFAAT
Next post MAIM JELAJAH 28 DUN SALUR BANTUAN PERSEDIAAN RAMADAN 2026