
LEBIH 12,000 KAMPIT BERAS MELAKA 10KG TERJUAL – EXCO
SERI NEGERI 9 Disember – Usaha Melaka dalam mempertingkatkan lagi tahap keterjaminan makanan mula menunjukkan hasil apabila 12,376 kampit Beras Melaka 10 kilogram (kg) terjual dalam tempoh setahun sejak mula diperkenalkan.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, inisiatif Beras Melaka juga dilaksanakan tanpa menggunakan sebarang peruntukan kewangan Kerajaan Negeri.
“Fasa pertama pada April 2025 menyaksikan 4,000 kampit Beras Melaka berjaya dijual melalui outlet FAMA dan pasar tani.
“Bagi fasa kedua kita menjual sebanyak 2,030 kampit pada Julai dan sebanyak 6,346 kampit pada Ogos 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Muhammad Jailani Khamis (PN–Rembia) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15, di sini, hari ini.
Menurutnya, inisiatif itu terbukti membuahkan hasil terutama ketika negara berdepan krisis bekalan beras putih tempatan sebelum ini.
“Kita akui krisis itu berlaku hampir di seluruh negara. Namun Beras Melaka ini wujud atas usaha sendiri dan terbukti membantu rakyat ketika ia sukar didapati,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


