Sorting by

×

LEBIH 13,000 PELAJAR TERIMA MANFAAT PROGRAM ‘YES! ROCK THE SCHOOL’

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

DURIAN TUNGGAL 14 Ogos – Lebih 13,000 pelajar sekolah seluruh negara menerima manfaat hasil pelaksanaan Program YES! Rock The School bertujuan memberi pendedahan awal berhubung peluang kerjaya masa hadapan.

Program anjuran Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan TalentCorp itu turut memberi manfaat kepada 500 guru seluruh Malaysia.

Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA, Sutekno Ahmad Belon berkata, inisiatif ini membantu pelajar mengenal pasti kemahiran diperlukan industri melalui inisiatif MyMahir.

“Selain mendapatkan panduan kerjaya berdasarkan data sebenar Program YES! Rock The School turut membina keyakinan diri melalui interaksi terus bersama pakar industri.

“Jadi kali ini kita himpunkan 800 peserta dalam kalangan pelajar sekolah harian dan kolej vokasional, merangkumi bidang seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kejuruteraan serta perdagangan. Program ini turut melibatkan hampir 200 tenaga pengajar universiti awam dan industri yang berkongsi ilmu serta pengalaman berharga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup YES! Rock The School Edisi Mega 2025 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Prof. Dr. Zulkiflie Ibrahim.

Menurutnya, bagi memastikan bakat muda bersedia menghadapi cabaran industri, KESUMA memacu Reformasi Tenaga Kerja Negara melalui tiga agenda utama.

“Ia merangkumi analisis pekerjaan masa hadapan, pembelajaran sepanjang hayat dan memperkukuh kerjasama antara kerajaan, industri serta sekolah.

“Dunia luar penuh cabaran, namun juga sarat dengan peluang bagi mereka yang bersedia. Setiap kemahiran baharu yang dipelajari dan setiap soalan yang diajukan adalah batu loncatan kejayaan.

“Saya yakin anda akan menjadi generasi peneraju yang mengembalikan kegemilangan Melaka, setanding era keemasan zaman Parameswara, tetapi dengan wajah baharu sebagai kuasa ilmu, teknologi, dan inovasi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

303
Kongsi :
Previous post LEBIH 20,000 KANAK-KANAK DI MELAKA TERIMA VAKSIN MEASLES-RUBELLA
Next post PENDAKWAH PUJI INISIATIF WRUR MELAKA