Sorting by

×

LEBIH 161,000 MULAKAN SESI PERSEKOLAHAN 2026 DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

PANTAI KUNDOR 12 Januari – Lebih 161,000 murid dan pelajar di Melaka memulakan sesi persekolahan tahun 2026, hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah itu melibatkan 239 buah sekolah rendah dan 80 buah sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut seramai 14,220 murid mendaftar bagi Tahun 1, manakala 5,837 pula mendaftar prasekolah di 184 institusi pendidikan di negeri ini.

“Selain itu, seramai 13,328 pelajar pula mendaftar ke Tingkatan 1.

“Jelasnya, setiap angka yang saya sebutkan ini bukan sekadar statistik semata-mata, tetapi mewakili wajah-wajah masa depan Negeri Melaka; anak-anak yang bakal membentuk kepimpinan, kemajuan dan kesejahteraan negeri ini pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Lawatan Rasmi Hari Pertama Sesi Persekolahan dan Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2026, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Gelam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta lain-lain kenamaan.

Dalam ucapannya, Ab Rauf turut menyuntik semangat pelajar agar menggunakan setiap peluang pendidikan dengan sepenuh hati sebaik sahaja melangkah ke dalam bilik darjah.

“Peluang untuk menjadi lebih baik daripada semalam, peluang untuk belajar sesuatu yang baharu, peluang untuk mencuba dan berusaha untuk membuktikan potensi sendiri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

385
Kongsi :
Previous post KAKI PANCING RANCAKKAN TAHUN MELAWAT MELAKA 2.0, VM 2026
Next post 155,406 MURID, PELAJAR DI MELAKA TERIMA BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN RM150