Sorting by

×

LEBIH 20 KELAS PENDIDIKAN KHAS PARLIMEN KOTA MELAKA AKAN DINAIK TARAF

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

TELOK MAS 29 Jun – Lebih 20 buah kelas pendidikan khas di sekolah rendah dan menengah sekitar Parlimen Kota Melaka bakal menerima peruntukan khas bagi tujuan kerja naik taraf.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, murid dan pelajar keperluan khas memerlukan persekitaran yang selesa serta kondusif justeru kerja-kerja naik taraf kemudahan untuk mereka amat perlu untuk dilaksanakan.

Poay Tiong berkata, pihaknya sudah meminta Bahagian Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, melihat keperluan kelas pendidikan khas dalam Parlimen Kota Melaka.

“Pada Mei lalu pihak kami sudah turun padang meninjau keadaan kelas pendidikan khas di sekolah rendah dan menengah. Bilik darjah atau kelas pendidikan khas ini ia memerlukan kemudahan khusus berbeza dengan kelas biasa.

“Sementara itu pada 2023 peruntukan RM1.22 juta telah disalurkan bagi membolehkan sekolah menyediakan fasiliti dan kemudahan kondusif untuk murid dan pelajar orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024, Muhammad Aidil Farhan Muhammad Kamal yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.58, di Kampung Permatang Pasir, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, murid dan pelajar pendidikan khas atau OKU memerlukan tumpuan serta perhatian kerana mereka juga memiliki potensi untuk cemerlang dalam akademik.

“Seperti di Kolej Tingkatan Enam Tun Fatimah, Durian Daun, saya telah mengeluarkan sejumlah peruntukan bagi proses ubah suai tandas sekolah ini selepas melihat Muhammad Aidil Farhan.

“Malah kecemerlangan Muhammad Aidil Farhan membuktikan pelajar OKU juga boleh berjaya dalam akademik seperti rakan normal yang lain,” katanya.

Pada lawatan itu Poay Tiong juga bersetuju untuk menghadiahkan kerusi roda elektrik kepada Muhammad Aidil Farhan untuk kegunaannya apabila menyambung pelajaran di universiti nanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

490
Kongsi :
Previous post ORANG ASLI BUKAN MASYARAKAT KELAS KETIGA DI MELAKA
Next post ‘MELON TO MILLION’ TAPAK LAHIRKAN PETANI MODEN DI MELAKA