Sorting by

×

LEBIH 20,000 KANAK-KANAK DI MELAKA TERIMA VAKSIN MEASLES-RUBELLA

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

PAYA RUMPUT 14 Ogos – Seramai 20,975 kanak-kanak yang berumur 6 hingga 59 bulan di negeri ini telah menerima vaksin Measles-Rubella setakat 12 Ogos 2025.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, jumlah itu direkod menerusi Aktiviti Imunisasi Tambahan Measles Rubella (MRSIA) Negeri Melaka yang diadakan bermula 4 Ogos lalu.

Jelas beliau, sepanjang MRSIA dijalankan, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka tidak menerima sebarang aduan mengenai kesan sampingan yang sederhana atau teruk selepas menerima vaksin berkenaan.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua ibu bapa dan penjaga di Negeri Melaka yang masih belum mendapat janji temu agar segera menempah melalui aplikasi MySejahtera atau bawa anak-anak terus ke klinik kesihatan atau lokasi pemberian vaksin MRSIA yang telah ditetapkan.

“Vaksin ini selamat, berkesan, dan diberikan secara percuma oleh kerajaan dalam melindungi kanak-kanak daripada ancaman penyakit demam campak (measles) dan rubella.

“Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan untuk mengawal penularan penyakit, malah untuk memastikan generasi akan datang membesar dengan sihat dan bebas daripada komplikasi serius yang boleh mengancam nyawa,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga kerja kesihatan di Negeri Melaka yang telah berkorban masa, tenaga dalam memberikan komitmen yang tinggi demi menjayakan MRSIA di negeri ini.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat memberikan sokongan bagi memastikan Negeri Melaka mencapai liputan imunisasi melebihi 95 peratus supaya setiap anak dilindungi, setiap keluarga sejahtera, dan setiap komuniti bebas daripada ancaman penyakit berjangkit yang boleh dicegah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

452
Kongsi :
Previous post PBT MELAKA ‘ALL OUT’ SAMBUT WTD 2025
Next post LEBIH 13,000 PELAJAR TERIMA MANFAAT PROGRAM ‘YES! ROCK THE SCHOOL’