Sorting by

×

LEBIH 200,000 ‘GEGAU’ PULAU MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

BANDA HILIR 8 Februari – Lebih 200,000 pengunjung menggegarkan Food & Drift Festival di Harbour Street, Pulau Melaka yang berlangsung selama empat hari, berakhir hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, festival menggabungkan konsep makanan dan sukan permotoran ‘drift’ itu mencatat kejayaan luar biasa.

Menurutnya, festival julung kali itu bukan sahaja mengangkat sukan permotoran ‘drift’ sebagai tarikan utama, malah menjadi platform ekonomi yang memberi limpahan rezeki kepada peniaga tempatan dan penggiat industri kreatif.

“Lebih 300 buah kereta drift dipamerkan sepanjang festival ini, manakala lebih 200 vendor makanan tempatan diberi peluang berniaga, sekali gus mewujudkan ekosistem perniagaan yang saling menguntungkan.

“Angka kehadiran yang memberangsangkan ini membuktikan keyakinan rakyat terhadap keupayaan anak muda menganjurkan acara berskala besar secara tersusun dan berimpak tinggi,” katanya ketika berucap seterusnya menyempurnakan perasmian penutup festival berkenaan.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, festival itu turut menawarkan kelainan apabila menyediakan cabutan bertuah berupa 10 buah kereta modifikasi, sekali gus menambah daya tarikan kepada pengunjung dari seluruh negara.

“Penganjuran festival ini dilihat sebagai pemangkin kepada penjenamaan baharu Melaka sebagai destinasi pelancongan automotif, gastronomi dan gaya hidup selari dengan aspirasi Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

502
Kongsi :
Previous post HADIAH RM100,000 MENANTI PENGUNJUNG BERTUAH MELAKA RIVER CRUISE TAHUN INI