Sorting by

×

LEBIH 21,000 RUMAH MAMPU MILIK SUDAH DIBINA DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KLEBANG 2 April – Lebih 21,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) telah siap dibina di seluruh Melaka sehingga Mac 2026 daripada jumlah keseluruhan 61,874 unit yang dirancang oleh Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menjelang tahun 2030 Melaka menyasarkan kadar pemilikan rumah meningkatkan kepada 88 peratus.

“Sebanyak 21,341 unit telah siap sementara itu 17,760 unit sedang dibina, manakala 22,773 unit pula dalam perancangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Klebang 2 Dan Residensi Bukit Katil yang disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di Residensi Klebang 2, hari ini.

Terdahulu teks ucapan beliau dibacakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong.

Menurut Ketua Menteri, sektor perumahan di Melaka akan terus diperkukuh melalui pelaksanaan dasar yang inovatif termasuk memperluas akses pembiayaan dan memastikan setiap pembangunan memberi manfaat langsung kepada rakyat termasuk golongan orang kurang upaya (OKU).

“Sehingga kini sektor perumahan di Melaka berada pada landasan yang kukuh dengan kadar pemilikan rumah yang kompetitif serta harga yang kekal antara paling berpatutan di Malaysia,” katanya.

Jelas Ketua Menteri, berpaksikan prinsip Melaka Sayang Rakyat, Kerajaan Negeri akan terus memacu usaha memastikan sektor perumahan di Melaka kekal berdaya tahan dan mampan.

“Ini supaya impian setiap keluarga memiliki rumah sendiri menjadi kenyataan.

“Dengan cabaran kos pembinaan yang semakin meningkat, komitmen Kerajaan Negeri tetap sama iaitu untuk memastikan rakyat terus mempunyai akses kepada rumah yang berkualiti dengan harga mampu milik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

357
Kongsi :
Previous post 18 LOJI WTE DIRANCANG DIBINA MENJELANG 2040
Next post 34 PROJEK PR1MA DIKATEGORIKAN ‘SAKIT’ SIAP SEPENUHNYA