Sorting by

×

LEBIH 3,000 MERIAHKAN TAHUN BAHARU CINA BERKONSEP MELAKA SAYANG RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

KLEBANG 4 Mac – Lebih 3,000 masyarakat berbilang kaum memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2026 Peringkat Negeri Melaka yang diadakan di Dataran Klebang, di sini, malam tadi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara kelainan pada tahun ini adalah sambutan itu membawa konsep ‘Melaka Sayang Rakyat’ sebagai sebuah agenda penyatuan masyarakat berbilang kaum.

Jelas beliau, jika tahun lalu Kerajaan Negeri mengetengahkan konsep kios dan gerai, tahun ini pula rakyat dijamu dengan hidangan bufet yang menyajikan pelbagai juadah tradisional masyarakat Tionghua secara percuma kepada semua pengunjung.

“Bagi saya, Tahun Baharu Cina bukanlah sekadar perayaan dalam kalendar. Pengisian pentingnya, ia adalah tentang keluarga dan tentang permulaan yang baharu.

“Ini adalah ruang untuk kita duduk semeja, berkongsi makanan dan yang paling penting… apabila kita bersama dalam majlis seumpama ini, kita sedang membina kepercayaan serta mengukuhkan jalinan silaturahim melalui asas perpaduan walaupun berbeza kaum, budaya dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2026 Peringkat Negeri Melaka yang diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Dataran Klebang, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, gagasan Melaka Sayang Rakyat atau MeSRa diilhamkan bukan sekadar slogan semata-mata, sebaliknya ia adalah pendekatan pentadbiran yang diambil bagi memastikan setiap rakyat merasakan kehadiran kerajaan dalam hidup mereka.

“Jika ada anak muda yang mencari pekerjaan… kita bantu! Jika ada peniaga kecil mahu berkembang… kita sokong! Jika ada warga emas memerlukan perhatian…kita santuni.

“Malah, jika ada keluarga yang terkesan dengan cabaran ekonomi…Kerajaan Negeri sedaya upaya bantu ringankan beban mereka.

“Kita mungkin berbeza bahasa di rumah. Berbeza adat di meja makan. Tetapi kita berkongsi satu identiti yang sama… kita semua anak Melaka dan keluarga besar Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

485
Kongsi :
Previous post PERPADUAN ASAS ‘KELUARGA BESAR MELAKA’
Next post MELAKA PERUNTUK RM78.67 JUTA UNTUK KEBAJIKAN RAKYAT