Sorting by

×

LEBIH 400,000 KENDERAAN DIJANGKA MASUK KE MELAKA MENJELANG AIDILFITRI

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

AYER LIMAU 9 Mac – Lebih 400,000 kenderaan luar dijangka memasuki Melaka sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, sekali gus memerlukan pemantauan rapi bagi memastikan kelancaran trafik di negeri ini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, jumlah itu dijangka meningkat berbanding kira-kira 300,000 kenderaan yang direkodkan memasuki Melaka ketika sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

Katanya, berikutan itu, satu operasi bersepadu sempena Hari Raya Aidilfitri akan diadakan bermula pada 11 Mac sehingga hari raya nanti.

“Operasi bersepadu sempena Aidilfitri ini akan melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Tujuan operasi ini lebih kepada pemantauan pergerakan trafik termasuk bas ekspres dan kenderaan luar yang masuk ke Melaka bagi memastikan perjalanan pengguna jalan raya lancar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Hameed turut menasihati pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang dan mematuhi had laju ditetapkan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil.

“Selain itu, kita juga akan berbincang dengan pengendali bas-bas di negeri ini bagi menambah perkhidmatan untuk menampung kepulangan anak perantau ke Melaka menjelang Aidilfitri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

465
Kongsi :
Previous post MAIM TERUS PERKASA USAHAWAN ASNAF, GALAK TEROKA PASARAN BAHARU
Next post ANGGOTA MALBATT SELAMAT DI SELATAN LUBNAN, TERUS PATUH SOP