
LEBIH 42,000 ANAK MELAKA BERKHIDMAT DALAM PERKHIDMATAN AWAM – KM
BANDA HILIR 20 Ogos – Seramai 42,410 anak jati Melaka kini berkhidmat dalam perkhidmatan awam daripada keseluruhan 1.3 juta penjawat awam di seluruh negara, berdasarkan statistik sehingga Februari 2024.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata daripada jumlah itu, lebih 36,000 kakitangan sedang berkhidmat di Melaka, merangkumi penjawat awam di peringkat negeri dan persekutuan.
Katanya, angka itu membuktikan kemampuan serta komitmen anak Melaka dalam menggalas amanah pentadbiran sama ada di negeri mahupun di peringkat nasional.
“Meskipun negeri Melaka kecil dari segi geografi dengan populasi sekitar 1.05 juta orang, semangat kami besar dan utuh, laksana lima pahlawan bersaudara yang bersatu hati mempertahankan kedaulatan negeri tercinta.
“Saya turut berharap Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan terus membuka ruang dan peluang yang lebih luas kepada rakyat Melaka untuk menyertai perkhidmatan awam sekali gus menyumbang tenaga, kepakaran serta kesetiaan dalam menjayakan agenda pembangunan negara.
“Sesungguhnya, penyertaan anak watan Melaka dalam barisan penjawat awam bukan sahaja memperkukuh kapasiti perkhidmatan, malah mencerminkan prinsip keterangkuman dan keadilan dalam pengagihan peluang kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia merangkap Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Datuk Seri Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri menyambut baik segala dapatan, perbincangan dan perkongsian yang dibentangkan dalam Mesyuarat SPA.
“Kita menyambut baik menerusi dapatan dalam memberi peluang kepada golongan orang kurang upaya (OKU) terlibat dalam pengambilan perkhidmatan awam, kecuali bagi skim perkhidmatan yang menetapkan syarat ukuran fizikal dan pancaindera.
“Semoga perkara yang telah diperhalusi dapat dijadikan asas kepada pelaksanaan dasar yang lebih inklusif, telus dan mampan oleh semua Pihak Berkuasa Melantik (PBM) di peringkat Persekutuan dan Negeri berlandaskan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan 1957,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.