
LEBIH 6,000 BERARAK SEMPENA MAULIDUR RASUL
BANDARAYA MELAKA 5 September – Seramai 6,227 umat Islam di negeri ini menyertai Majlis Perhimpunan dan Perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka 1447H/2025M, hari ini.
Perarakan yang bermula di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit, itu turut disertai Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Ab Rahman.
Turut bersama-sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Mufti Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil.
Perarakan kira-kira empat kilometer itu itu membabitkan lebih 112 kontinjen mewakili pelbagai agensi, institusi termasuk sekolah dan berakhir di Dataran Pusat Islam Melaka, Bukit Palah.
Terdahulu, Tun Dr. Mohd Ali turut membaca Lafaz Pelancaran Sambutan Maulidur Rasul 1447H sebelum diteruskan dengan bacaan selawat.
Sepanjang perarakan peserta mengalunkan qasidah dan selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW selain penduduk kampung turut memberi sokongan dengan menunggu peserta dibahu jalan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.