Sorting by

×

LEBIH 70,000 ‘GEGAU’ RXZ MEMBERS RIDE EDITION MELAKA 3.0

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 14 Disember – RXZ Members Ride Edition Melaka 3.0 2025 berjaya menarik kehadiran lebih 70,000 pengunjung di Dataran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, acara permotoran berskala besar itu berjaya menghimpunkan lebih 20,000 pemilik motosikal dari seluruh negara, selain 50,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya.

Menurut beliau, acara itu juga dilihat mengukuhkan kedudukan Melaka sebagai destinasi utama pelancongan permotoran sekali gus membantu memacu ekonomi negeri dan rakyat.

“Sambutan luar biasa pada tahun ini membuktikan komuniti RXZ kini menjadi fenomena nasional yang mampu menjana pulangan ekonomi secara langsung kepada pelbagai sektor termasuk perhotelan, makanan, peruncitan dan peniaga kecil.

“Sepanjang penganjuran program ini, hotel, resort dan inap desa di seluruh Melaka dilaporkan penuh, manakala restoran, kafe serta penjaja kecil turut menerima lonjakan pelanggan yang memberangsangkan,” katanya.

Img 20251214 005427 841
ORANG ramai yang hadir memeriahkan Majlis Perasmian Penutup RXZ Members Ride Edition Melaka 3.0 2025 di Dataran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup RXZ Members Ride Edition Melaka 3.0 2025 di Dataran MITC, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, penganjuran RXZ Members Ride Edition 3.0 juga selari dengan persiapan negeri ke arah Tahun Melawat Melaka (TMM) 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia (VM 2026) yang menyasarkan 19 juta kehadiran pelancong ke Melaka tahun depan.

“Kerajaan Negeri melihat acara komuniti seperti ini sebagai pemangkin pelancongan berimpak tinggi yang bukan sahaja memeriahkan kalendar pelancongan, malah memberi pulangan nyata kepada rakyat,” ujarnya.

Pada majlis itu, Kerajaan Negeri turut menyumbangkan hadiah cabutan bertuah berupa sebuah Proton S70, Yamaha RXZ dan Yamaha LCV8 sebagai tanda penghargaan kepada komuniti RXZ Members.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

392
Kongsi :
Previous post MELAKA KOMITED ANJUR KONVENSYEN PELANCONGAN SETIAP TAHUN