Sorting by

×

LEBIH 890,000 ANAK MELAKA TERIMA BANTUAN PENDIDIKAN TAPEM

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

SERI NEGERI 21 Julai – Seramai 891,855 anak Melaka menerima manfaat menerusi pelbagai skim bantuan pendidikan disediakan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, bagi tempoh 2022 hingga 2025 peruntukan mencecah RM23.87 juta disalurkan untuk pembangunan pendidikan bermula peringkat rendah sehingga pengajian tinggi, termasuk pelajar tahfiz serta luar negara.

“Antara bentuk bantuan disalurkan ialah pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional-i (SSPNi) kepada anak kelahiran Melaka, bantuan pelajar sekolah rendah dan menengah.

“Pinjaman pengajian tinggi, bantuan ‘one-off’ pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) serta dermasiswa pelajar tahfiz dan pengajian Islam turut diberikan kepada mereka yang layak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr. Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban) mengenai jumlah peruntukan TAPEM dari tahun 2022 hingga 2025 pada Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Menurut beliau, seramai 14,085 pelajar telah menerima bantuan ‘one-off’ bagi kemasukan ke IPT melibatkan peruntukan sebanyak RM7.3 juta.

“Selain itu, seramai 6,746 pelajar sekolah rendah dan 1,944 pelajar sekolah menengah turut menerima bantuan masing-masing RM200 dan RM600 seorang setahun.

“Bagi peringkat pengajian tinggi, sebanyak RM8.93 juta diperuntukkan untuk pinjaman pelajar baharu dan pelajar aktif melibatkan semua institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan empat institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) iaitu Universiti Islam Melaka (UNIMEL), Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (ICYM), Kolej Antarabangsa Sains & Teknologi Melaka (MiCoST) dan Akademi Laut Malaysia (ALAM),” katanya.

Tambahnya, sebanyak RM2.9 juta pula dibelanjakan untuk Dermasiswa Pengajian Islam (DPI) dalam dan luar negara termasuk Mesir, Jordan, Maghribi, Indonesia serta institusi tempatan seperti Kolej Al-Quran Sayyidina Ali (KAQSA).

“Seramai 117 pelajar tahfiz Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahfiz Bestari UNIMEL menerima dermasiswa sehingga RM6,000 seorang setahun, manakala pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan maahad tahfiz turut menerima bantuan RM1,000 hingga RM1,200 setahun,” katanya.

Jelasnya, Kerajaan Negeri turut mengiktiraf pelajar cemerlang melalui penganjuran Majlis Anugerah Sekolah dan Pelajar Cemerlang Negeri Melaka dengan jumlah peruntukan sebanyak RM999,200.

“Peruntukan ini diberikan kepada pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), SPM, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), STAM dan pelajar Huffaz,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

394
Kongsi :
Previous post MBMB RANGKA NAIK TARAF KOMPREHENSIF PASAR WILAYAH KOTA LAKSAMANA
Next post JEREBU: MELAKA AKTIFKAN SEGERA JAWATANKUASA PENGURUSAN BENCANA DAERAH