Sorting by

×

LEBIH SETENGAH KILOGRAM DADAH DITEMUI DI LOKASI KEMALANGAN MAUT

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

PAYA RUMPUT 30 Mei – Pengguna jalan raya yang kebetulan berada di lokasi kemalangan maut di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) Paya Rumput, di sini, pagi semalam, dikejutkan dengan penemuan bungkusan lutsinar mengandungi dadah berhampiran motosikal milik mangsa.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan maut yang meragut nyawa penunggang motosikal iaitu lelaki berusia 22 tahun itu pada jam 7.54 pagi.

Katanya, kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah motosikal, Perodua Bezza serta lori dari arah sama iaitu Cheng menghala ke Alor Gajah.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa melanggar bahagian belakang Perodua Bezza sebelum kenderaan itu hilang kawalan lalu bergesel dengan sebuah lori yang kebetulan melalui lokasi kejadian.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dialaminya.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan bungkusan dadah dipercayai heroin sebanyak 450 paket dianggarkan kira-kira 688 gram dan 12 paket dadah dipercayai methamphetamine, dianggarkan 13 gram berhampiran motosikal mangsa,” katanya.

Menurut Dzulkhairi, dengan penemuan dadah itu pihak polis tidak menolak kemungkinan semasa kejadian lelaki terbabit dalam perjalanan untuk menghantar barang terlarang tersebut kepada pelanggan.

“Semakan lanjut dijalankan mendapati mangsa tidak mempunyai jenayah rekod lampau berkaitan dadah mahupun individu dikehendaki polis.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut berhubung kejadian dan penemuan dadah itu masih diteruskan selain kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Jelasnya, kesemua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan kini ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk tindakan lanjut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3549
Kongsi :
Previous post LEBIH 5,000 UMAT ISLAM MERIAHKAN SUNGAI UDANG BERSELAWAT
Next post INISIATIF LPM BANTU RAKYAT KURANG BERKEMAMPUAN BAIK PULIH RUMAH