
LELAKI MAUT MOTOSIKAL BERTEMBUNG PENUNGGANG LAWAN ARUS DI SUNGAI UDANG
SUNGAI UDANG 8 Oktober – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas dua motosikal bertembung di Jalan Sungai Udang berhampiran lampu isyarat Penjara Sungai Udang, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 malam itu, penunggang motosikal jenis Honda, Mohd Huzaimi Abdul Hamid, 44, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Seorang lagi penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC berusia 22 tahun pula cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata siasatan awal mendapati mangsa dari arah Bertam Setia dalam perjalanan ke tempat kerja di Pusat Penapisan Melaka (Melaka Energy Park).
Katanya, setiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa bertembung dengan sebuah motosikal yang ditunggang lelaki berusia 22 tahun itu yang dipercayai melawan arus dari arah Taman Desa Taming Sari menuju ke lampu isyarat Penjara Sungai Udang.
“Akibat pertembungan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah di kepala dan kini dirawat di Zon Merah, Hospital Melaka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Christopher berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat, manakala penunggang yang cedera turut dirawat di hospital sama.
“Siasatan lanjut mendapati penunggang yang cedera tidak memiliki lesen memandu yang sah. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.