Sorting by

×

LESEN MOTOSIKAL PERCUMA ‘MELAKA SAYANG RAKYAT’ DIBUKA BERMULA MAC

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 30 Januari – Program Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Lesen Motosikal Percuma di bawah inisiatif Bajet Negeri Melaka 2026 yang memfokuskan pelajar sekolah dalam golongan B40 dan Orang Kurang Upaya (OKU) dijadualkan bermula pada Mac depan.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, insentif itu bakal dimanfaatkan pelajar sekolah berusia 16 tahun hingga 19 tahun membabitkan kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

Katanya, pelaksanaannya akan diadakan secara berperingkat, di mana Kerajaan Negeri menyasarkan seramai 500 pelajar dan 500 OKU seluruh negeri.

“Dari segi agihan kuota, kita akan buat mengikut DUN, yang mana setiap DUN dianggarkan lebih 30 penerima bagi setiap kawasan.

“Namun jumlah sebenar masih dalam proses penyelarasan kerana program MeSRa ini memang fokus khusus kepada pelajar sekolah dan OKU sahaja,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Hameed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau berkata, sebaik bermula, program itu tidak menetapkan tempoh waktu pelaksanaan, sebaliknya akan diteruskan sehingga kuota yang diperuntukkan habis.

“Sehingga kini diperingkat Kerajaan Negeri kita sedang meneliti kaedah permohonan dan penyediaan borang permohonan. Kita harap ibu bapa dan pelajar yang layak memohon untuk menunggu pengumuman rasmi sebelum membuat sebarang permohonan.

“Kita akan maklum dan buat hebahan sekiranya permohonan dibuka pada Mac nanti selepas proses penyelarasan mengikut DUN selesai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

408
Kongsi :
Previous post UTEM BANGUNKAN MAKMAL AI BERSAMA INSTITUSI TEKNIKAL SLOVAKIA
Next post PPSPM LAKSANA INISIATIF HIJAU, SEMAI BUDAYA CINTAI ALAM SEKITAR