Sorting by

×

LIGA SUPER: MELAKA FC TIDAK MEWAH BERBELANJA

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SERI NEGERI 7 Ogos – Melaka FC hanya memperuntukkan bawah RM6 juta untuk perbelanjaan kelab itu bagi musim baharu Liga Super 2025/2026.

Pemilik Melaka FC Datuk Wira Nur Azmi Ahmad berkata, meskipun pasukan lain memperuntukkan perbelanjaan besar sehingga mencecah lebih RM10 juta semusim, namun pendekatan berbeza diambil Melaka FC.

“Dari segi perbelanjaan kita meminimumkan kerana apa yang penting adalah persiapan yang dibuat oleh pasukan.

“Saya boleh katakan Melaka FC belanja hanya bawah RM6 juta, selain kita juga sudah ‘reserved’ 12 bulan gaji untuk pemain dan staf kejurulatihan.

“Apa yang penting bagi saya gaji yang kita tawarkan kepada pemain, pemain sendiri setuju dan hal berkaitan gaji tidak akan menjadi tekanan kepada pemain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jersi Dan Memperkenalkan Pemain Melaka FC Musim 2025/2026 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Datuk VP. Shanmugam dan jurulatih Melaka FC, K Devan.

Menurut Nur Azmi, aspek pentadbiran diberi keutamaan dalam Melaka FC bagi menangani sebarang isu perbelanjaan pasukan khususnya membabitkan gaji pemain.

“Saya tahu, saya tidak bayar gaji seperti kelab-kelab lain, tetapi saya mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) sendiri selain ia (pembayaran gaji) dibuat hasil perbincangan dengan permain.

“Malah, saya percaya pemain yang datang sertai Melaka FC ini sudah melihat ‘track record’ kita yang baik sejak dua tahun lepas, selain untuk pemain import yang belum membuka akaun bank pula kita membuat bayaran secara tunai.

“Justeru itu, kepada peminat saya berharap jangan khuatir tentang gaji pemain apa yang penting terus memberi sokongan kepada Melaka FC,” katanya.

Dalam pada itu, menzahirkan keyakinan skuad kendalian K Devan mampu mempamerkan prestasi terbaik dan mampu berada di kedudukan enam terbaik dalam saingan Liga Super musim ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

886
Kongsi :
Previous post LEBIH SATU ABAD, LONG CHAN IKON PRODUK SENTIMENTAL MELAKA – KM
Next post SEKOLAH MENENGAH BAHARU DUN REMBIA DIANGKAT KE RMK13, ATASI ISU KEPADATAN PELAJAR