
LIMA FOKUS PEMIMPIN BELIA MELAKA
BANDARAYA MELAKA 30 Oktober – Lima penekanan perlu dijadikan fokus pemimpin belia Melaka agar setiap langkah, suara dan tindakan mereka benar-benar memberikan kesan kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, berkata fokus pertama pemimpin belia adalah perlu berperanan sebagai suara strategik negeri dengan bertindak sebagai ‘think tank’ komuniti muda yang tampil dengan idea bernas dan solusi berasaskan fakta serta realiti.
Katanya, pemimpin belia juga perlu mampu untuk menjawab keperluan semasa rakyat dan memperkukuh dasar Kerajaan Negeri dengan data bukan retorik.
Fokus kedua, kata Ketua Menteri adalah berperanan sebagai pemimpin digital dan inovasi iaitu sejajar transformasi digital bergerak pantas.
“Sehubungan itu belia Melaka mesti menguasai bidang teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital. Tempoh 10 tahun mendatang, saya mahu Melaka bukan sekadar peneraju Bandar Pintar, sebaliknya mementaskan sebuah negeri yang melahirkan generasi Belia Pintar.
“Ketiga belia perlu menjadi pemangkin perpaduan dan nilai kemanusiaan. Belia perlu menjadi
jambatan antara kaum, agama dan budaya, bagi mengangkat toleransi serta membina harmoni sejagat.
“Lebih-lebih lagi, dalam suasana dunia hari ini yang mudah terpengaruh dengan retorik kebencian dan perpecahan, kita tidak mahu melihat generasi muda hanyut dalam kepincangan sahsiah, kehilangan arah serta jati diri,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Persidangan Majlis Perundingan Belia Negera Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025 di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, fokus keempat adalah berperanan sebagai agen kelestarian dan kelangsungan negeri yang akan memastikan bumi ini terus subur untuk diwarisi.
Sementara itu fokus terakhir adalah menjadi pemacu pembangunan ekonomi negeri dengan turut menampilkan jejak tangan dan sumbangan anak muda Melaka yang berwawasan, berdikari dan
paling penting berdaya cipta.
“Kesimpulannya, arah tuju Melaka yang sedang diolah hari ini bergantung kepada sejauh mana belia yang ada pada sekarang mampu mengubah potensi menjadi prestasi dan semangat menjadi tindakan.
“Saya menaruh keyakinan tinggi terhadap potensi anak muda Melaka. Justeru, kepada seluruh pemimpin belia, teruslah berganding bahu memastikan setiap idea, program dan gerakan yang dipacu membawa makna kepada rakyat dan nilai tambah kepada negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


