Sorting by

×

LIMA KAMPUNG DI AYER LIMAU DAPAT FAEDAH SANTUNI MADANI

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER LIMAU 11 Mei – Program Satu Pemimpin Satu Kampung yang turut dikenali sebagai Santuni MADANI terbukti berupaya memberi pelbagai manfaat kepada komuniti kampung, bahkan turut meringankan beban wakil rakyat kawasan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, menerusi program seumpamanya, ia secara tidak langsung membantu dalam aspek pembangunan infrastruktur bagi kemudahan komuniti setempat.

Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri memaklumkan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau sahaja, terdapat lima buah kampung menerima manfaat menerusi program Santuni MADANI.

“Antara kampung yang terpilih menerusi program ini adalah Kampung Ramuan China Besar yang diletakkan di bawah Jabatan Integriti sebagai agensi angkatnya.

“Selain itu, Kampung Ramuan China Kechil pula di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS); Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS); Kampung Pinang, Ayer Limau di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan Kampung Sungai Jerneh bersama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

“Meskipun mempunyai agensi angkat masing-masing, namun, sebagai wakil rakyat saya akan terus memantau rapat setiap perkembangan semua agensi-agensi yang melaksanakan projek-projek pembangunan komuniti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Santuni MADANI Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di Balai Raya Kampung Sungai Jerneh, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah MyIPO, Kamal Kormin dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Hameed berkata, inisiatif Santuni MADANI terbukti memberi limpahan manfaat kepada penduduk kampung terlibat apabila pelbagai kemudahan telah dibangunkan tanpa perlu menunggu kelulusan atau tempoh masa yang lama.

“Di Kampung Ramuan China Kechil, misalnya, telah terlaksana projek naik taraf beberapa kawasan komuniti, di mana pihak JPS telah meluluskan peruntukan RM1 juta dan kerja pelaksanaan sedang dilakukan ketika ini.

“Kesemua lokaliti mempunyai penambahbaikan infrastruktur berbeza seiring dengan ekonomi setempat, selain ia juga akan mengambil kira keperluan masyarakat di sesuatu kawasan,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

628
Kongsi :
Previous post KOMUNITI SUNGAI JERNEH TERIMA PELBAGAI MANFAAT SEBAGAI ‘KAMPUNG ANGKAT’ MYIPO
Next post MPJ BAIK PULIH 20 MEDAN SELERA, TANDAS AWAM