
LIMA SEKOLAH DALAM KEM TERENDAK TERIMA SUMBANGAN KOMPUTER RIBA
SUNGAI UDANG 26 Januari – Lima Sekolah Dalam Kem (SDK) di Kem Terendak menerima sumbangan 470 unit komputer riba sebagai menyokong pelaksanaan pembelajaran digital dalam kalangan anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Lima sekolah berkenaan adalah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kem Terendak, Sekolah Kebangsaan Kem Terendak 1, SK Kem Terendak 2 dan SK Kem Gerak Khas.
Jumlah keseluruhan komputer riba yang diserahkan kepada SDK seluruh negara adalah berjumlah 3,270 unit.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperkasa sistem pendidikan di sekolah-sekolah dalam kem agar selari dengan keperluan semasa dan perkembangan teknologi.
Menurutnya, penyerahan komputer riba berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan dikhususkan kepada sekolah-sekolah dalam kem sahaja.
“Komputer riba ini untuk kengunaan guru dan juga pusat digital sekolah supaya pengajaran serta pembelajaran untuk anak-anak tentera ini dapat dilakukan menggunakan teknologi terkini.
“Sebanyak 38 SDK (seluruh negara) dengan jumlah 3,270 unit komputer riba diagihkan, dengan demikian, mereka akan berjaya berhadapan dengan cabaran dan mereka boleh melalui kehidupan dengan sempurna,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kem Terendak di Sungai Udang di sini hari ini.
Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Azhan Md Othman; Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dan Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata kementerian juga turut membantu anak-anak anggota tentera membuka Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi simpanan pendidikan.
“Jumlah keseluruhan yang kita berikan kepada SDK Terendak lebih kurang RM200,000 di bawah Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

