
LIMPAHAN PEMBANGUNAN BUKTI TOK RAOP SAYANG MASJID TANAH
TANJUNG BIDARA 12 April – Biar setinggi manapun berada, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh tidak pernah melupakan Masjid Tanah yang juga tanah tempat tumpah darah beliau.
Ketua Menteri berkata sepanjang tiga tahun menerajui pentadbiran Negeri Melaka Masjid Tanah tidak terkecuali daripada menerima pelbagai jenis pembangunan hasil kemakmuran ekonomi negeri.
Katanya, khusus untuk Masjid Tanah sebanyak 1,182 projek pembangunan telah dilaksanakan dengan nilai peruntukan mencecah RM332.9 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara ini berkata, sepanjang tiga tahun mentadbir Melaka sebanyak RM419.1 juta diperuntukkan untuk menjaga kebajikan 100,000 golongan sasar seluruh negeri dan daripada jumlah itu RM48.1 juta disalurkan untuk orang Masjid Tanah.
Tidak cukup dengan itu, lebih 3,000 anak Masjid Tanah daripada peringkat sekolah rendah, menengah hinggalah ke universiti telah menerima manfaat pendidikan agar mereka terus diberi peluang membina masa depan yang lebih baik, melibatkan peruntukan lebih RM1.7 juta.
“Juga untuk anak muda, pelbagai fasiliti sukan dan kemudahan telah dibangunkan, antaranya Litar Kereta Kawalan Jauh (RC) fasiliti bertaraf antarabangsa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dengan kos RM500,000.
“Lebih 200 pencapaian telah pun dilakar di Melaka sepanjang tempoh ini. Kita bina bukan sekadar jalan tetapi laluan harapan. Kita bantu bukan sekadar hulurkan bantuan tetapi masa depan,” kata Ketua Menteri ketika berucap pada Majlis Meraikan Bakal Haji Dan Pesara Polis Dalam Parlimen Masjid Tanah yang diadakan di Villa D’Acqua, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama isteri Ketua Menteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz, Exco Kerja Raya, Infrastruktur dan kemudahan awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer merangkap Adun Ayer Limau serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin merangkap Adun Taboh Naning.
Yang turut hadir Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah merangkap Adun Kuala Linggi serta Adun Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Ahmad Jefferi Abdullah, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ahmad Abu Bakar seramai 255 pesara polis dan 155 bakal jemaah haji yang diraikan.
Ab Rauf berkata aduan dan suara rakyat menjadi teras utama pentadbiran beliau dan komitmen itu diterjemahkan menerusi Program Wakil Rakyat untuk Rakyat yang kini telah memasuki siri ke-12 di DUN Gadek selain penganjuran Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bertemu Rakyat (HEBAT).
Jelas Ketua Menteri, kedua-dua program dilaksanakan memberikan impak besar kerana semua wakil rakyat mengambil serius aduan masyarakat di DUN masing-masing dan mesti diselesaikan dalam tempoh dua minggu.
“Sebanyak 1,423 aduan direkodkan dan 94 peratus daripadanya telah diselesaikan. Ini bukan sekadar statistik tetapi adalah kepercayaan rakyat yang kita tunaikan.
“Antara aduan utama adalah berkaitan isu banjir, justeru dalam menanganinya pelbagai pelan mitigasi telah dilaksanakan dengan tambahan RM6 juta diperuntukkan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


