Liputan meluas 5G di Melaka September ini

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDA HILIR 20 Ogos – Pengguna di 40 lokasi di negeri ini akan mula menikmati kemudahan liputan rangkaian generasi kelima (5G) pada penghujung September.

Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin berkata, secara keseluruhan sebanyak 133 lokasi disasarkan Digital Nasional Berhad (DNB) untuk menerima liputan 5G menerusi kolobrasi bersama Melaka ICT Holdings (MICTH).

Beliau berkata, Melaka menjadi negeri pertama di luar Lembah Klang diberikan peluang oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi pelaksanaan rangkaian 5G.

“Bagi fasa pertama ini keutamaan diberikan kepada kawasan Melaka Tengah, antaranya di Ayer Keroh dan bandar Melaka.

“Sekurang-kurangnya penghujung September nanti 40 lokasi dijangka sudah boleh ‘on air’. Lokasi terpilih antaranya kawasan penduduk tinggi, pelancongan, institusi pengajian tinggi dan perindustrian,” katanya.

Beliau berkata, demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Smart Melaka Blueprint 2035, Pelancaran Asia’s First Metaverse Immersive Experience Mall dan Pra Pelancaran Smart Melaka International Conference 2022 di Element X, Hatten City, di sini, hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan rangkaian 5G tidak lagi memerlukan menara seperti sebelum ini, sebaliknya teknologi baharu ‘smart pole’ dengan menggunakan tiang lampu pintar.

“Ini adalah antara inisiatif dilaksanakan dalam usaha ke arah menjadikan Melaka Smart City 2035,” katanya.

Sementara itu, Rais berkata, Melaka, kini berada dalam fasa pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dengan sebanyak 248,479 premis dilengkapi akses rangkaian gentian optik.

“Sebelum inisiatif JENDELA hanya 150,219 premis di negeri ini ada akses kepada perkhidmatan jalur lebar gentian optik bekelajuan gigabit, tetapi angka itu meningkat sebanyak 65 peratus,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1569
Kongsi :
Previous post Melaka lokasi pertukaran adat dan budaya
Next post Bezza terbalik elak Innova masuk simpang
Ubah saiz-+=