Sorting by

×

LITAR ‘RC’ TANJUNG BIDARA SIAP AHAD INI

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

TANJUNG BIDARA 5 September – Litar lumba kereta kawalan jauh (RC) pertama di daerah Alor Gajah iaitu di Pantai Tanjung Bidara, dijangka siap sepenuhnya Ahad ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, kemudahan itu juga sudah sedia untuk menjadi venue bagi pertandingan sukan kereta kawalan sempena Majlis Perasmian Pesta Pantai Tanjung Bidara 2025.

Katanya, pembinaan litar itu mendapat kerjasama Persatuan Lumba Kereta Kawalan Jauh Negeri Melaka bagi memastikan ia menepati standard ditetapkan antarabangsa.

“Kita bina kemudahan mengikut standard dengan panjang keseluruhan trek adalah 268 meter sementara itu lebar pula 4.5 meter. Kemudahan ini turut melibatkan ruang persediaan, ruang mengecas bateri, tempat kawalan, serta tempat duduk penonton yang boleh memuatkan antara 100 hingga 120 pengunjung.

“Setakat ini saya difahamkan pertandingan itu akan melibatkan seramai 90 orang peserta. Kemudahan ini adalah yang pertama seumpamanya di daerah Alor Gajah, saya percaya litar kita bina akan jadi tarikan baharu untuk menggamit bukan sahaja peminat sukan RC tetapi mereka yang mahu beriadah,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas melakukan lawatan tapak di Pantai Tanjung Bidara, di sini, semalam.

Hadir sama, Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas, serta wakil jabatan dan agensi Kerajaan Negeri.

TPr. Saifuddin berkata, projek itu adalah salah satu inisiatif MPAG dalam memperkenalkan aktiviti baharu di Tanjung Bidara, sekali gus menarik kehadiran pengunjung tempatan dan dari luar Melaka.

Majlis perasmian litar itu dijadualkan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada 14 September ini, serentak dengan perasmian Pesta Pantai Tanjung Bidara 2025.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

537
Kongsi :
Previous post SYARIKAT TEKNOLOGI PERUBATAN JEPUN BERMINAT LUASKAN KEPAKARAN DI MELAKA
Next post SERUMPUN RACE SPECIAL EDITION 2025 ANGKAT POTENSI ANAK ISTIMEWA