Sorting by

×

LOJI WTE SUNGAI UDANG BEROPERASI 2029

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

SUNGAI UDANG 2 April – Melaka melakar satu lagi pencapaian menerusi pembinaan Loji Waste-to-Energy (WtE) Sungai Udang yang akan menjadi penanda aras penting dalam pembangunan fasiliti pengurusan sisa pepejal di Malaysia.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu amat penting kerana ia adalah satu bentuk inovasi, trasformasi dan reformasi bakal mencorakkan sistem pengurusan pepejal nasional pada masa hadapan.

Katanya, Loji WtE Sungai Udang yang juga kemudahan kedua seumpamanya di negara ini dibangunkan di tapak seluas 3.96 hektar (9.8 ekar) itu melibatkan kos RM660 juta dengan jangkaan siap sepenuhnya dan memulakan operasi pada 2029.

“Loji WtE Sungai Udang mampu merawat sehingga 1,000 tan sisa pepejal setiap hari, sekali gus menjana 22 megawatt tenaga boleh baharu.

“Ini bermakna, selain daripada mengurangkan pelepasan karbon dioksida, pencemaran udara, bau dan air, loji ini secara langsung memberi manfaat kepada rakyat Melaka menerusi bekalan elektrik yang lebih stabil dan mencukupi untuk keperluan harian.

“Perubahan besar inilah yang sedang kita usahakan, satu transformasi daripada pendekatan konvensional kepada pendekatan yang lebih progresif. Daripada melihat sisa sebagai beban, kepada mengangkatnya sebagai sumber yang bernilai,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Loji WtE Sungai Udang di tapak WtE Sungai Udang, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming; Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Wira Dr. M Noor Azman Taib; Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara Dato’ Ir. Ts. Gs. Dr. Mohd Azhar Abd Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff Corporation Berhad Syahrunizam Samsudin, Ketua-ketua Jabatan Negeri Melaka serta Persekutuan.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Ab Rauf, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, delegasi Kerajaan Persekutuan, serta semua rakan strategik atas komitmen dan kerjasama erat bersama Kerajaan Negeri Melaka dalam merealisasikan pembinaan Loji WtE Sungai Udang.

Jelas beliau, objektif Kerajaan Melaka jelas iaitu tidak hanya mengejar kemajuan, tetapi memastikan setiap langkah pembangunan kekal seimbang dengan kelestarian, demi
kesejahteraan rakyat sejajar dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).

“Saya meletakkan harapan yang sangat tinggi agar setiap perincian kerja dalam projek ini benar-benar dapat mematuhi setiap piawaian keselamatan dan alam sekitar, seterusnya dapat melaksanakan projek mengikut jadual pelaksanaan atau ‘work programme schedule,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

311
Kongsi :
Previous post SUKAN ORANG ASLI ANTARA 115 PROGRAM MENARIK WRUR DUN ASAHAN
Next post ‘HADIAH’ MASJID BAHARU UNTUK PENDUDUK TAMAN DESA BERTAM