
LOJI WTE SUNGAI UDANG DIJANGKA SIAP 2029, AKHIRI PENANTIAN RAKYAT MELAKA
TABOH NANING 21 Jun – Penantian loji pemprosesan sisa pepejal kepada tenaga (WTE) di tapak pelupusan sisa pepejal sanitari Sungai Udang bakal berakhir apabila projek pembinaan akan dimulakan pada tahun hadapan.
Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, loji WTE dengan nilai pelaburan RM660 juta itu akan menjadi loji kedua negara dibangunkan, sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan sisa dan tenaga selain menjadi lebih efisien dan mesra alam.
Katanya, meskipun pembinaan itu mengambil masa tiga tahun dan dijangka siap pada 2029, ia memberi kelegaan kerana secara tidak langsung dapat mengurangkan beban yang dialami tapak pelupusan sampah sedia ada.
“Kerajaan Negeri menyambut baik pengumuman Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung bajet yang diperuntukkan untuk pembinaan loji ini dan saya yakin hasrat untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah bandar terbersih dapat direalisasikan dengan adanya loji WTE ini.
“Apabila siap nanti, loji itu dijangka mampu memproses sehingga 1,000 tan sisa pepejal setiap hari dan ini dapat memastikan kesejahteraan rakyat, khususnya penduduk setempat terjamin,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning ditemui Melaka Hari Ini pada Program Jualan Rahmah Madani KPDN Dan Hari Terbuka Masjid Ar-Rahman Kampung Rantau Panjang, di sini, hari ini.
Menurut Zulkiflee, kapasiti kawasan sisa pepejal sedia ada di Sungai Udang tidak mampu lagi dapat menampung timbunan sisa pepejal yang datang melebihi 1,000 tan setiap hari sehingga mengundang rasa tidak senang dalam kalangan penduduk apabila terpaksa berdepan dengan pencemaran bau serta serangan lalat.
“Pastinya selepas ini penduduk sekitar tidak lagi berdepan dengan masalah malah akan meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat selain memastikan persekitaran lebih sihat dan selamat,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, loji WTE Sungai Udang mampu memproses sehingga 1,000 tan sisa pepejal setiap hari, menjana 22 megawatt (MW) tenaga elektrik, dan mengurangkan lebih 259,000 tan pelepasan karbon dioksida setiap tahun bersamaan dengan impak penanaman lebih empat juta pokok.
Beliau dilaporkan berkata, loji itu juga akan dilengkapi dengan sistem rawatan air larut resap berkapasiti 96 meter padu, yang akan dibina di atas tanah seluas 9.8 ekar di tapak pelupusan Sungai Udang sedia ada.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.