
LONGKANG MONSUN MBMB LERAI DILEMA BANJIR TAMAN KRUBONG PERDANA
PAYA RUMPUT 14 Oktober – Isu banjir yang membelenggu penduduk di sekitar Taman Krubong Perdana akhirnya menemui penyelesaian menerusi pelaksanaan projek menaik taraf sistem perparitan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Jurutera Awam Kanan (Jalan dan Saliran Bandar) MBMB, Ir. Ts. Ahmad Fahmi Abdullah berkata, projek bernilai hampir RM533,000 itu melibatkan pembinaan dua longkang monsun baharu di kawasan berkenaan.
Katanya, pembinaan terbabit bagi mengatasi masalah limpahan air hujan yang sering menjejaskan kediaman penduduk.
“Sistem perparitan dan saliran baharu dibina untuk menampung aliran air dari kawasan perumahan yang sebelum ini bergantung kepada satu saluran utama sempit.
“Dahulu hanya ada satu sistem perparitan dan ia tidak mampu menampung aliran air yang banyak. Sekarang kita pecahkan kepada dua bahagian untuk alirkan terus ke kolam takungan utama,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Taman Krubong Perdana, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ir. Ts. Ahmad Fahmi berkata, pembinaan dua longkang monsun di taman berkenaan, masing-masing di jalan utama Taman Krubong Perdana dan Jalan KP5 membabitkan kos RM285,000 dan RM248,000.
Jelasnya, setiap longkang direka mengikut spesifikasi 1,500 milimeter (mm) lebar, bersesuaian dengan kapasiti saliran di kawasan berpenduduk padat itu.
“Kita terima aduan penduduk tahun lalu dan ambil tindakan segera pada tahun ini selepas mendapat peruntukan dan dengan siapnya projek ini, kita dapat kurangkan impak banjir di kawasan ini,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.