Sorting by

×

LONJAKAN KES PENYAKIT BERJANGKIT BERI CABARAN KEPADA PETUGAS KESIHATAN

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 6 Ogos – Kes penyakit berjangkit di Melaka menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 23,478 kes dilaporkan dari Januari hingga 31 Julai lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 56.2 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Katanya, antara penyakit tertinggi direkodkan ialah penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dengan 9,308 kes, diikuti COVID-19 sebanyak 1,792 kes.

“Statistik ini bukan sekadar angka. Ia isyarat jelas bahawa tanggungjawab dan peranan warga kesihatan semakin mencabar.

“Landskap kesihatan semakin kompleks apabila munculnya cabaran baharu, antaranya peningkatan penyakit berjangkit, kes denggi, isu kesihatan mental yang semakin meruncing serta tekanan terhadap kapasiti fasiliti kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sanjungan Budi dan Apresiasi Petugas Kesihatan Negeri Melaka Tahun 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Suriani Ahmad; Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr. Ruzita Mustaffa serta kenamaan lain.

Pada majlis penghargaan tersebut, Ab Rauf turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada hampir 9,000 petugas kesihatan seluruh Negeri Melaka yang disifatkan sebagai ‘benteng kesejahteraan rakyat’.

Beliau juga memberi penghormatan kepada 214 pesara kesihatan yang bersara pada 2024 dan 2025 serta menyampaikan lima anugerah kecemerlangan.

Lima anugerah itu adalah Best Organ & Tissue Procurement Team 2024; Best Sustainability Initiative (Hospital) semasa Green Healthcare Facilities Appreciation 2025; Anugerah Inovasi Terbaik Kebangsaan Gold Award International Convention on Quality Control Circle (ICC) Beijing; Reben Merah Kebangsaan 2024 Bagi Program HIV (Klinik Model Terbaik) dan Anugerah Sumbangan Cemerlang Penyelidikan Klinikal Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

413
Kongsi :
Previous post LALUAN SEHALA PEKAN DURIAN TUNGGAL BAKAL BERI KELEGAAN KEPADA PENGGUNA
Next post MASYARAKAT DI HATI MPAG CERMINAN KEPRIHATINAN KERAJAAN NEGERI