
LORONG SENI JASIN ‘PORT’ BAHARU BERGAMBAR
JASIN 21 November – Peruntukan bagi melaksanakan kerja menaik taraf dimanfaatkan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) bagi mengindahkan dan menceriakan beberapa lokasi dalam kawasan pentadbirannya termasuk mewujudkan Lorong Seni Jasin, bakal menjadi tarikan baharu daerah itu.
Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, Lorong Seni Jasin terletak di Jalan Demang Hj Abu dan dinaik taraf dengan kerjasama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).
Katanya, projek menaik taraf Lorong Seni Jasin kini giat dilaksanakan dengan peruntukan berjumlah RM181,797.
“Kerja-kerja naik taraf melibatkan pembaikan fizikal, penyediaan ruang dan penghasilan mural baharu yang dijangka menjadi tarikan pelancongan terbaru daerah ini.
“Proses naik taraf merangkumi kerja-kerja memperkemaskan lantai sedia ada untuk menerima lapisan imprint, menukar longkang lama kepada baharu berbentuk U bersaiz 300 milimeter (mm), merobohkan struktur gerai lama, selain kerja pencahayaan, pemasangan tiang tonggak, mural dan papan tanda bagi memberi wajah baharu kepada lorong berkenaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Zahiruddin berkata sehingga kini sebanyak dua lokasi mural dengan tema berbeza berteraskan produk pelancongan Jasin sudah disiapkan.
Menurutnya, mural dilukis berdasarkan konsep budaya tempatan serta motif tengkolok sebagai identiti utama daerah Jasin.
“Projek Lorong Seni Jasin ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan, sebelum ia dibuka kepada pengunjung sebagai daya tarikan baharu yang bukan sahaja menjadi spot bergambar, tetapi turut memperkenalkan keunikan dan identiti Jasin melalui seni visual.
“Dengan kemasan baharu, mural berkonsepkan warisan dan kemudahan yang dipertingkat, Lorong Seni Jasin diyakini bakal menjadi satu lagi ikon pelancongan yang menghidupkan semula suasana bandar selain memanfaatkan komuniti setempat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

