
LORONG SENI, LORONG NGETEH TARIKAN BAHARU BANDAR LAMA JASIN
JASIN 5 Januari – Inisiatif Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mengindahkan bandar lama Jasin menerusi pelaksanaan Projek Lorong Seni Jasin dan Lorong Ngeteh kini mendapat perhatian serta pujian daripada pelbagai pihak.
Yang Dipertua MPJ, Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, inisiatif itu dibiayai menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).
Katanya, lorong tersebut dilengkapi mural 3D, pencahayaan dan laluan pejalan kaki unik yang berpotensi menjadi lokasi tumpuan pelancong.
“Selain Lorong Seni Jasin, terdapat juga Lorong Ngeteh yang menempatkan tiga warung. Sebahagian besar pengunjung warung ini adalah ‘orang lama’, lokasi itu memang strategik.
“Kita mahu mengangkat lokasi yang estetik ini untuk menggamit lebih ramai pengunjung ke Jasin, semua ini mengambil contoh di Ipoh, Perak yang mengangkat lorong-lorong sekitar bandar lama untuk diketengahkan dan diberi nafas baharu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Zahiruddin berkata MPJ akan sentiasa cakna akan keadaan sekitar Jasin termasuklah memperindah lokasi-lokasi tumpuan pelancong sejajar dengan Tahun Melawat Melaka 2.0 pada tahun ini.
“MPJ merancang untuk memperluaskan projek ini ke fasa seterusnya bagi menaik taraf lebih banyak lorong belakang yang usang menjadi ruang awam yang ceria dan selamat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


