Sorting by

×

MACAM-MACAM ADA DI PROGRAM MADANI RAKYAT 2025 MELAKA 17 – 19 OKTOBER INI

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 12 Oktober – Melaka menjadi lokasi terakhir siri jelajah Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Oktober ini.

PMR 2025 adalah program berkonsep manifestasi kesepaduan dalam memperkukuh semangat patriotisme serta mempertahankan kedaulatan negara berlandaskan prinsip Malaysia MADANI.

Bertemakan Aspirasi MADANI, Menjamin Pertahanan dan Kedaulatan Negara, program berskala nasional itu memilih Politeknik Merlimau sebagai lokasi penganjuran.

Pelbagai pengisian menarik bakal ditampilkan kepada pengunjung antaranya ‘petting zoo’, Pentas Selera Negeri Melaka, sukan rakyat, Pameran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Demonstrasi Taktikal serta banyak lagi.

Sepanjang tiga hari penganjuran, pengunjung juga dapat menikmati pelbagai faedah istimewa, antaranya kaunter pembayaran saman dengan pengurangan kadar kompaun sehingga 50 peratus, Jualan MADANI, Pertukaran Topi Keledar, Karnival Kerjaya, serta perkhidmatan bergerak daripada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.

Melaka Berselawat yang bakal diadakan pada sebelah malam, 17 Oktober ini pula dijangka bakal menjadi acara paling dinanti-nantikan pengunjung.

Istimewanya, alunan selawat dan qasidah tersebut bakal dipimpin oleh kumpulan nasyid popular tanah air iaitu Raihan.

Selaim itu, PMR 2025 Melaka juga akan dimeriahkan lagi dengan Konsert Gegar Melaka menampilkan persembahan daripada artis terkenal tanah air seperti Akim, Stacy, Black Hanifah dan Ramli Sarip.

Penglibatan ATM pula bakal memberi dimensi unik kepada program ini menerusi aktiviti pertunjukan payung terjun, kawad senyap, demonstrasi anjing perang, pameran aset ketenteraan serta pelbagai lagi.

Tidak cukup dengan itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga akan mengadakan persembahan khas Drumline pada acara kemuncak program tersebut.

Penutup PMR 2025 Melaka dijangka akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Oktober, bersama barisan pimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Pengunjung khususnya rakyat Melaka dijemput hadir memeriahkan PMR 2025 Melaka kerana masuk adalah adalah percuma.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

715
Kongsi :
Previous post WRUR: KEBERSIHAN PREMIS MAKANAN DI KLEBANG WALK MEMUASKAN
Next post EMPAT LOKASI ‘PICK UP & DROP OFF’ E- HAILING DI BANDA HILIR