
MAHU JADI PAKAR SEJARAH ISLAM
KUALA LINGGI 26 Ogos – Minat terhadap sejarah berkaitan rasul dan nabi di mendorong Ahmad Dzakiri Zulkeflei, 19, untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin di Universiti Al-Azhar, Mesir.
Katanya, pemilihan kursus itu juga disebabkan minatnya untuk mendalami pengetahuan berhubung sejarah kerajaan lama seperti Yunani, ilmu mantik dan bidang falsafah.
Pelajar Sekolah Menengah Arab (JAIM) Al-Asyraf Pekan Pulau Sebang (SMASRA) ini berkata, selain al-Quran dan hadis, sejarah lama adalah antara rujukan penting dalam mengesahkan keagunan agama Islam.
“Mengikut perancangan selepas tamat pengajian di Al-Azhar saya mahu menyambung pengajian peringkat sarjana di universiti tempatan. Menerusi sejarah juga kita akan lebih faham berhubung susur galur rasul dan nabi dan kerajaan berkaitan Islam yang terdahulu.
“Semua ini membuka minda dan akal berhubung keagungan Islam, sekali gus meningkatkan lagi tahap keimanan sebagai seorang Muslim. Pada masa akan datang jika berpeluang saya mungkin akan melakukan kajian berhubung peranan Melaka sebagai pusat dakwah dan penyebaran agama Islam,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutup Kursus Persediaan Pelajar Timur Tengah (KPTT) Negeri Melaka Bagi Tahun 2025 di Kampus Universiti Islam Melaka (UNIMEL), Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, di sini, 22 Ogos lalu.
Majlis penutup kursus itu disempurnakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan turut dihadiri Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Abdul Aziz Baba.
Hadir sama Naib Canselor UNIMEL Prof Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil Shawkataly dan Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Mohd Hairulamin Mohd Sis.
Berkongsi rahsia kejayaannya dalam pelajaran dan hidup, Ahmad Dzakiri berkata dia kerap menghidupkan malam dengan melakukan solat sunat hajat, taubat, istikharah dan tahajud.
“Dengan melakukan istikharah, insya-Allah urusan kita akan menjadi lebih mudah, jika berdepan kesulitan pasti ada penyelesaiannya kerana kita memohon daripada Allah SWT. Setiap kali ada waktu terluang saya akan laksanakan solat sunat ini dan pada masa yang sama menjaga ibadat wajib lain,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.