Sorting by

×

MAIM AGIH RM81 JUTA UNTUK ASNAF JANUARI-JUN TAHUN INI

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 12 Ogos – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah membelanjakan RM81 juta dana zakat untuk diagihkan kepada asnaf di negeri ini setakat Januari hingga Jun tahun ini.

Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, daripada jumlah itu, peruntukan terbesar adalah kepada golongan miskin iaitu membabitkan agihan berjumlah RM36.7 juta.

Jelasnya, ia kemudian diikuti peruntukan sebanyak RM21.13 juta kepada golongan fisabilillah khususnya dalam bidang pendidikan, manakala bakinya diagihkan kepada baki enam lagi golongan asnaf di negeri ini.

“Agihan ini berdasarkan kutipan zakat yang kita terima setiap tahun, di mana ia tidal boleh disimpan dan perlu terus dibelanjakan kepada golongan asnaf di negeri ini.

“Justeru, saya menyeru kepada orang ramai untuk menyegerakan pembayaran zakat supaya bantuan kepada asnaf di negeri ini dapat kita salurkan sebaiknya pada setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran dalam Podcast Mana Lagi, Melaka Ler di Studio Melaka TV, di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai bantuan asnaf MAIM, Shaifulfazlee menjelaskan bantuan tersebut kebiasaannya diberikan mengikut tempoh sama ada setahun, dua tahun atau tiga tahun mengikut pecahan kategori.

Jelas beliau, sebaik tamat tempoh yang ditetapkan, setiap asnaf perlu kembali semula kepada MAIM untuk disiasat sama ada mereka layak menerima bantuan seterusnya atau sudah boleh berdiri di atas kaki sendiri.

“Perlu faham, ada di antara penerima ini hanya bersifat sementara, seperti contoh hilang upaya sementara akibat kemalangan dan sebagainya. Jadi apabila mereka sudah boleh kembali bekerja, mereka bukan lagi tergolong dalam kumpulan asnaf.

“Sebab itulah kita menetapkan tempoh-tempoh tertentu bagi penerima bantuan dan jika benar mereka masih memerlukan bantuan, kita akan bantu untuk memperbaharui permohonan tersebut,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

428
Kongsi :
Previous post DEWAN BELIA MELAKA BAHAS USUL TVET, RUMAH MAMPU MILIK UNTUK ANAK MUDA
Next post MOTAC, PDRM PASTIKAN KESELAMATAN TERJAMIN SEPANJANG WTD 2025