
MAIM, JKM BEKERJASAMA TAMBAH BAIK PENGURUSAN BANTUAN KEBAJIKAN
PENGKALAN BATU 24 Jun – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka menjalin kerjasama dalam menambah baik sistem pengurusan bantuan yang lebih efesien dan produktif kepada penerima bantuan, khususnya asnaf.
Kerjasama itu antara yang diberi tumpuan pada sesi kunjung hormat JKM ke atas MAIM di Pusat Islam Melaka, semalam.
MAIM dalam satu kenyataan memaklumkan, kunjungan itu memberi tumpuan kepada perbincangan mengintegrasi Sistem Pengurusan Bantuan Kebajikan (eBantuan JKM) dan Sistem Bantuan i-Asnaf MAIM.
Jelas kenyataan itu, kerjasama tersebut penting bagi tujuan pengaksesan data secara dua hala di antara dua agensi berkenaan.
“Pertemuan ini juga antara lain memupuk dan menjalin kerjasama serta berkongsi idea mahupun pandangan kedua-dua belah pihak terutama berkaitan penambahbaikan sistem pengurusan bantuan yang lebih efektif dan produktif.
“Semoga kerjasama ini dapat dieratkan lagi demi menjaga kemaslahatan asnaf dan penerima bantuan di negeri ini,” jelas kenyataan tersebut.
Terdahulu, sesi kunjung hormat itu dihadiri Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad dan turut bersama Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.